Kisah kampung Melayu di pinggir Bangkok
SEBUT sahaja Bangkok, perkara pertama yang pasti terbayang di mata ialah kenikmatan membeli-belah di ibu kota Thailand yang tersohor itu.
Namakan sahaja barang yang diingini, pakaian, barangan kosmetik sehinggalah produk kraftangan unik pastinya akan ditemui dengan mudah.
Baru-baru ini, penulis diberi peluang mengikuti Lawatan Muhibbah Sempena Sambutan Hari Kesenian Melayu di kota Bangkok anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
Rombongan tersebut diketuai oleh Presiden DMDI, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam bersama 17 individu lain.
Mereka ialah Naib Pengerusi DMDI, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin; Setiausaha Agung DMDI, Datuk Abu Bakar Abdul; Pengurus Besar DMDI, Datuk Zainal Hussin; Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga Pemadam Kebangsaan, Datuk Jamelah Bakar; Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi; wakil DMDI Indonesia, wakil Serantau Muslim dan beberapa pihak lain.
Meskipun kunjungan ke Bangkok bukanlah kali pertama, tetapi apa yang mengujakan penulis adalah mengenai aktiviti yang dijalankan selama tiga hari di sana.
Antara pengisian menarik yang diatur adalah melawat ke kawasan kampung-kampung Melayu yang terdapat di pinggir Bangkok.
Penulis dan ahli rombongan dipandu oleh Sekretariat DMDI Thailand diketuai Setiausahanya, Dr Abdulhafiz Sile.
Selama ini, kebanyakan kita beranggapan bahawa orang Islam Thailand lebih sinonim di kawasan selatan negara itu seperti di wilayah Satun, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla.
Pun demikian, sempena lawatan penuh bermakna itu, barulah penulis sedar bahawa di Bangkok juga terdapat beberapa perkampungan Melayu.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, penulis dan ahli rombongan lain terus dibawa ke wilayah Ayutthaya yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Bangkok. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam lebih dengan menaiki van.
Kami kemudian diajak mengunjungi ke tempat-tempat bersejarah di Ayutthaya yang terkenal sebagai kerajaan Ayutthaya atau Siam seperti di Wat Chaiwattanaram, Pusat Kajian Sejarah Ayutthaya dan beberapa destinasi lagi.
Kunjungan hari pertama diakhiri dengan menikmati makan malam di sebuah restoran masakan asli Thailand.
Tidak jauh beza
Memasuki hari kedua, kami ke satu lagi perkampungan Melayu dan Islam di pinggir kota Bangkok iaitu di wilayah Panthumthani.
Di sana, ahli rombongan diraikan dalam satu majlis di Masjid Nurulayakin. Penulis berpeluang menyaksikan tayangan video yang memaparkan usaha-usaha yang dilakukan Yayasan Islam Sri Pathum untuk memartabatkan Melayu dan Islam di kawasan itu.
Walaupun hakikatnya hanya generasi tua yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Melayu, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk mengekalkan warisan zaman berzaman itu.
Seorang penduduk di Pathumthani yang ditemui, Rogayah Ramli, 70, berkata, beliau merupakan antara generasi pertama yang masih ada di perkampungan Melayu yang dibuka sejak lebih 100 tahun lalu.
"Saya masih berupaya bertutur bahasa Melayu tetapi generasi selepas saya tidak.
"Kebanyakan hanya boleh bercakap dalam bahasa Thailand. Jadi, sedikit demi sedikit, ia (bahasa Melayu) semakin terhakis," katanya kepada Sihat:Aktif.
Perkara sama turut diakui Halimuh Hamzoh, 58. Namun jujurnya, beliau mengakui yang dirinya kurang mahir bertutur dalam bahasa Melayu.
"Saya masih faham dan boleh bercakap sedikit tetapi kalau hendak faham sepenuhnya agak sukar," katanya sambil tersenyum malu.
Bagaimanapun, wanita itu bersyukur kerana Yayasan Islam Sri Pathum begitu agresif melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu termasuk menganjurkan kelas agama.
Hampir separuh hari di sana, penulis dan rombongan terus bergerak ke acara kemuncak iaitu Sambutan Hari Kesenian Melayu Thailand yang diadakan di Universiti Rangsit, Bangkok.
Di sebalik sebuah universiti swasta yang gah di kawasan kota itu, siapa sangka ada persatuan pelajar Melayu yang sangat aktif menggerakkan aktiviti untuk menyubur dan menyemarakkan keagungan bahasa Melayu di Bangkok.
Lebih menarik lagi, majlis penuh sejarah itu turut dihadiri Timbalan Gabenor Wilayah Phatumthani, Sitthichai Swadsaen.
Jujurnya, penulis teruja dan kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan pelajar dan pengurusan di universiti itu yang gigih berusaha mengangkat martabat warisan Melayu.
Hari terakhir berada di sana, kami dibawa melawat ke Madrasah Masohudin iaitu pusat pengajian agama Islam tunggal yang berada di tengah-tengah bandar Bangkok.
Kehidupan pelajar-pelajar di madrasah berkenaan tidak jauh bezanya dengan suasana sekolah pondok di Malaysia.
Apa yang boleh penulis simpulkan mengenai lawatan singkat itu ialah ia penuh dengan pengisian ilmu dan sangat bermanfaat untuk disimpan kemas.
Lebih penting, tanpa peluang yang diberikan DMDI, pasti penulis tidak mengetahui akan wujudnya perkampungan orang Melayu dan Islam yang unik di sebuah kota metropolitan bernama Bangkok.
DMDI terus suburkan bahasa Melayu, dunia Islam
Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam memberitahu, DMDI yang telah ditubuhkan pada tahun 2000 telah disertai oleh 22 buah negara sekretariat antaranya seperti Afrika Selatan, Kemboja, Filipina, Indonesia, Bosnia, Australia, New Zealand, Mesir dan banyak lagi.
Katanya, tujuan utama DMDI ditubuhkan adalah untuk merapatkan hubungan orang Melayu dan Islam di seluruh dunia agar identiti itu dapat bertahan.
"Bagi memastikan budaya dan warisan ini terus bertahan, kita turut mengadakan konvensyen setiap tahun di negara berlainan supaya apa sahaja perkara melibatkan orang Melayu dibincangkan bersama.
"Melaluinya (konvensyen), tumpuan kita bukan sahaja menumpukan usaha untuk memartabatkan Melayu tetapi juga membincangkan isu-isu semasa luar negara.
"Selain disertai negara-negara peserta, dalam konvensyen juga kita turut menjemput negara-negara bukan ahli supaya mereka mendapat pendedahan sekali gus tampil untuk menubuhkan DMDI di negara masing-masing," katanya.
Mengulas mengenai syarat sekretariat DMDI di luar negara, Mohd Ali berkata, hanya rakyat tempatan sahaja yang dibenarkan menyertainya.
"Sebagai contoh, sekiranya ingin tubuhkan sekretariat di Thailand, ahli mestilah rakyat di negara itu yang mempunyai darah Melayu, sama juga kalau di Australia atau pun China," katanya.
Ujarnya, ketika ini pihaknya menyasarkan lebih banyak negara akan turut menubuhkan DMDI dalam masa terdekat.
Menjawab satu soalan, Mohd Ali berkata, pertubuhan itu yang terletak di Melaka menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk bersama agensi pelancongan, rumah tumpangan dan sebagainya.
"Sudah tiba masanya DMDI perlu wujudkan lebih banyak kegiatan perniagaan. Kalau kita ada rangkaian perniagaan, kita boleh bertemu dengan lebih ramai orang Melayu di seluruh dunia," katanya yang turut memasang objektif untuk menyemarakkan kesenian Melayu seperti pantun, silat dan tarian.
Dalam pada itu, sempena kunjungan ke Bangkok, Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka, Datuk Saroni Judi bersetuju menawarkan empat biasiswa kepada orang Melayu di Bangkok untuk melanjutkan pengajian di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka.
Tawaran tersebut dibuat sebagai salah usaha untuk membantu mengembangkan budaya Melayu dalam kalangan generasi muda di kota hebat itu. Kos pengajian bagi empat pelajar itu dianggarkan lebih RM100,000 dan akan ditanggung sepenuhnya kolej tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!