Bekas 'drummer' Ukays, isteri dan dua anak maut di Syria
KUALA LUMPUR – Bekas pemain dram kumpulan rock terkenal Ukays, Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan sejak 2014 dilaporkan terbunuh pada awal tahun ini.
Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Akel Zainal bersama isteri dan dua anaknya berusia dua dan tiga tahun maut dalam serangan udara Rusia di Syria pada Mac lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, maklumat yang diterima memaklumkan rumah Akel di Baghouz terkena letupan bom semasa serangan udara itu.
“Selain itu, seorang lagi pejuang IS warga Belgium turut terbunuh dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi tadi.
Akel dilaporkan menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria malah turut ke sana untuk menyertai perang sejak 3 Januari 2014.
Pada Oktober 2014, Akel didakwa giat merekrut golongan muda dari Malaysia untuk berperang bersamanya di Syria.
Ayob memaklumkan, seorang lagi anggota militan Malaysia, Mohd Rafi Udin yang juga dikenali sebagai Abu Awn Al-Malizi juga dibunuh semasa serangan udara Rusia pada Januari lalu.
“Dia pernah muncul dalam video IS pada 2016, menyeru serangan terhadap kerajaan sekular dan pemimpinnya. Dalam video itu, dia dilihat memenggal kepala tawanan dipercayai dari Timur Tengah.
"Dia telah menjadi militan Mujahidin Malaysia (KMM) pada tahun 2001, dan menyertai Jemaah Islamiyah (JI) sebelum pergi ke Syria untuk menyertai IS,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!