Teknologi sut terbang boleh dicontohi, sesuai untuk misi ketenteraan

SYED YUSAINEE YAHYA.
SYED YUSAINEE YAHYA.
A
A
A

SEORANG pelajar jurusan Doktor Falsafah (PhD) yang sedang mengkaji kajian berkenaan sokongan inersia maya dalam sistem aplikasi angin (virtual inertial support in wind application system) menyifatkan teknologi yang diguna pakai untuk membangunkan sut terbabit boleh dicontohi penyelidik tempatan.

Nor Shahida Hasan yang juga bekas pensyarah berkata, jika teknologi itu dikuasakan oleh reaktor lengkung seperti yang diguna pakai Tony Stark dalam filem Ironman, mungkin penyelidik tempatan boleh mengkaji sejauh mana keberkesanan pemindahan tenaga medan magnet kepada elektrik demi kepentingan awam.

"Namun dalam konteks sut terbang itu, berdasarkan kepada beberapa video dalam laman Youtube mengatakan, sut itu terlalu berat, panas dan bising. Persoalannya, adakah kita memerlukan sut tersebut demi pembangunan negara kita?," soalnya.

Pun demikian, Nor Shahida berkata, jika mahu mencipta sut terbang pun tiada masalah namun kena berbalik kepada objektif dan kepentingan di Malaysia.

" Mungkin kita boleh memfokuskan teknologi yang dibangunkan untuk sut terbang itu seperti komunikasi yang menggunakan arahan suara tanpa menyentuh butang dail seperti Jarvis-style AI," jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Pengajian Fizik dan Bahan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Syed Yusainee Yahya mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau berpendapat, inovasi sut terbang yang dibangunkan Gravity Industries lebih sesuai untuk misi ketenteraan di negara maju berbanding kegunaan peribadi.

"Jika dilihat berdasarkan perspektif kepentingan terhadap sektor ketenteraan, sut terbang berkenaan berupaya memberi kelebihan untuk mengintip musuh dari ruang udara dan mampu bergerak pantas.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan jika seseorang tentera itu mampu bergerak dari satu poin ke poin lain dengan cepat berbanding tentera di daratan yang terpaksa berlari atas kudrat sendiri, pastinya ia memberi satu kelebihan," ujarnya ketika dihubungi e-Trend baru-baru ini.

Syed Yusainee menambah, walaupun sut terbang idea Browning boleh dikomersialkan, namun perlu memikirkan implikasi pada masa akan datang.

"Sekiranya dikomersialkan untuk kegunaan individu, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk peraturan penerbangan dan kawalan udara. Saya bimbang berlaku musibah tidak diingini seperti hilang kawalan sehingga merempuh bangunan tinggi disebabkan penggunaan tidak mahir.

"Masih tidak sesuai inovasi seperti itu dikomersialkan di Malaysia lebih-lebih lagi kesedaran sivik masyarakat yang masih belum bersedia ke arah itu. Mungkin dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya sambil tidak menafikan kepakaran penyelidik tempatan menghasilkan idea yang lebih baik daripada yang dicetuskan oleh saintis luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!