Hanya 3,002 penama di Pahang bayar zakat
KUANTAN - Lebih 12,000 daripada 15,335 penama di seluruh Pahang gagal mengembalikan semula borang taksiran Wajib Taksir Zakat (WTZ) kepada Pusat Zakat Pahang (PKZ).
Pengurus Besar Kanan PKZ, Datuk Halidan Md Daud berkata, daripada jumlah itu hanya 19 peratus iaitu kira-kira 3,002 penama yang sudah membuat taksiran zakat.
Menurutnya, berdasarkan data tersebut kesedaran dan maklumat balas yang diterima berada di tahap kurang memuaskan sedangkan penama sepatutnya memberi kerjasama kepada pihak PKZ.
"Kita akui ada segelintir daripada mereka (penama) tidak membuka pun surat (borang) yang kita kirimkan ke rumah mereka.
"Malah kita juga berdepan dengan kerjasama daripada majikan khususnya pegawai berkaitan tetapi kerjasama tidak diberi terutamanya dalam penyerahan notis atau sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis serahan zakat perniagaan badan korporat Rural Capital Berhad dan MBSB Bank Berhad yang dianggarkan bernilai RM94.447.82 di Ibu Pejabat PKZ hari ini.
Turut hadir, wakil daripada Rural capital, Ketua cawangan operasi, Dr Mahadir Ibrahim, Ketua Unit Perhubungan Korporat, Mohamad Arif Mohamed Ali, Ketua Cawangan Pahang, Nur Suhara Rosli, MBSB Bank Berhad diwakili oleh Pengurus bahagian pinjaman, Zulkifli Ismail.
Dalam pada itu Halidan berkata, kegagalan membuat taksiran pendapatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
Menurutnya, mengikut seksyen itu terdapat dua kesalahan yang boleh dikenakan tindakan iaitu enggan memberi taksiran pendapatan dan tidak membayar zakat atau fitrah.
"Bagi mereka yang tidak membayar zakat apabila sudah mencukupi syarat boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
"Tidak membayar zakat pula boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!