Jeanine Anez isytihar sebagai Presiden sementara Bolivia
SUCRE - Senator pembangkang Bolivia, Jeanine Anez semalam mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden sementara negara Amerika Selatan itu selepas Evo Morales meletak jawatan pada awal minggu lalu.
Ahli Parlimen daripada Parti Gerakan untuk Sosialisme (MAS) bagaimanapun memboikot sesi tersebut kerana dianggap tidak sah yang bermaksud tiada korum untuk pelantikan itu.
Tetapi, Anez menegaskan beliau adalah pemimpin yang layak seperti ditetapkan dalam Perlembagaan dan beliau berjanji untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi selepas pemimpin wanita terbabit mengambil kawalan sementara ke atas Senat.
"Sebelum ketiadaan Presiden dan Timbalannya, saya sebagai Presiden Dewan Senator bertindak segera mengambil alih tampuk pemerintahan seperti yang termaktub dalam piagam negara ini," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Bolivia letak jawatan
Difahamkan, Mahkamah Tinggi Bolivia turut menyokong keputusan Anez.
Morales yang kini melarikan diri ke Mexico untuk memohon perlindungan bagaimanapun mengecam keputusan pemimpin wanita terbabit. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!