MB Terengganu puji inisiatif bina 'kubur'
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memuji usaha penduduk membina 'kubur' sebagai langkah membendung tindakan membuang sampah sembarangan di kawasan tepi jalan bersebelahan tali air di Kampung Seri Tanjung, di sini.
Pujian itu dilontarkan menerusi status yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya hari ini.
Memetik laporan disiarkan Sinar Harian, beliau turut menganggap langkah yang diambil itu sebagai tindakan yang kreatif.
"Kreatif sungguh orang Tranung (Terengganu). Macam-macam cara nok (nak) bagi (beri) kesedaran pada orang ramai. Ni bukan setakat takut nok (nak) buang sampah, nok (nak) lalu pun takut ni.
"Apa-apa pun tahniah atas usaha pihak tersebut. Terbaik!," tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Kubur' tepi jalan beri amaran
Bina kubur tepi jalan, elak orang buang sampah
Terdahulu akhbar ini melaporkan penduduk dari kampung itu mengambil inisiatif membina 'kubur' kerana tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan sehingga mengganggu lalu lintas.
Kisah kubur yang dibina di tepi jalan berhampiran tali air di kampung berkenaan tular sejak dua hari lalu selepas dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!