Serah nombor pin bank, mekanik rugi RM55,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang mekanik sanggup menyerahkan nombor pin perbankan atas talian kepada individu tidak dikenali gara-gara terlalu takut diugut akan ditangkap kerana terbabit dalam pengubahan wang haram semalam.

Akibat tindakan tersebut, lelaki berusia 34 tahun kerugian kira-kira RM55,000 selepas wang simpanannya hilang sekelip mata dipercayai ditipu sindiket Macau Scam hanya dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa yang berada di bengkel menerima panggilan seorang lelaki yang mengatakan wakil dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah.

Katanya, lelaki tidak dikenali itu memaklumkan dia dikesan memiliki tunggakan bayaran hasil berjumlah RM17,000 sebelum mangsa menafikan.

"Sejurus itu talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum dijawab seorang lelaki memperkenalkan sebagai pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan.

"Lelaki itu seterusnya meminta nombor kad pengenalan mangsa kononnya untuk semakan lanjut sebelum memaklumkan yang dia dikesan terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram.

"Dalam masa sama, lelaki itu mengarahkan mangsa menyerahkan nombor pin perbankan atas talian dengan alasan untuk mengemas kini akaun bank bagi tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber lagi, mangsa turut diugut akan ditangkap sekiranya enggan memberi kerjasama sebelum akur kerana takut dengan ugutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa berfikir panjang dan sebarang syak, mangsa terus mendedahkan nombor pin yang diminta sebelum menceritakan kejadian itu kepada isterinya sejurus pulang ke rumah.

"Bagaimanapun mangsa diberitahu isteri yang dia sudah masuk perangkap 'scammer' sebelum membuat semakan bank mendapati wang simpanannya berjumlah RM55,000 sudah dikeluarkan dengan 10 transaksi pengeluaran dilakukan hari sama.

"Terkedu dengan maklumat diberikan mangsa yang tidak berpuas hati ditipu membuat laporan polis hari yang sama untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!