Gerakan alu-alukan arahan permit kempen rumah ke rumah
PONTIAN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengalu-alukan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetapkan bahawa semua calon dan parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai perlu mendapatkan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.
Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, beliau melihat arahan itu untuk tujuan keselamatan di kawasan Parlimen Tanjung Piai.
“Tujuan itu saya harap adalah untuk menjaga keselamatan di negara ataupun Tanjung Piai. Memang pihak polis bimbang jika semasa lawatan (kemungkinan) ada parti berlainan pergi melawat ke rumah sama dan dalam masa yang sama, ia akan membangkitkan pergaduhan. Ini kita mengalu-alukan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Operasi Gerakan, di sini hari ini.
Dominic berkata, pihak polis juga berhak untuk mengambil tindakan secara adil kepada calon atau parti sekiranya lawatan dari rumah ke rumah tanpa permit itu mencetuskan pergaduhan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak susah pun mohon permit kempen rumah ke rumah, kata Karmaine
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata, PDRM telah menetapkan bahawa semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.
Azhar berkata, selain itu, PDRM turut menetapkan bahawa program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
Sementara itu, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, parti itu pada dasarnya tidak membantah arahan daripada pihak berkuasa berkenaan peringatan tentang permohonan permit dan pematuhan undang-undang oleh parti yang bertanding.
“Namun berkenaan permohonan permit kempen dari rumah ke rumah, Berjasa melihat perkara itu merumitkan malahan arahan yang diterima adalah pada saat akhir tarikh berkempen iaitu berbaki dua hari lagi. Permohonan permit bagi kempen dari rumah ke rumah tidak dinyatakan di dalam mana-mana peruntukan undang-undang (berkaitan) pilihan raya.
“Oleh itu Berjasa meminta agar pihak SPR dan pihak PDRM dapat mengkaji semula arahan permohonan permit dari rumah ke rumah tersebut agar tidak merumitkan suasana berkempen oleh parti-parti yang bertanding,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Berjasa tetap dengan pendiriannya akan terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh SPR dalam kempen PRK kali ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!