Pembangkang bincang usul permit kempen di Parlimen esok
KUALA LUMPUR - Pembangkang akan membawa usul membincangkan peraturan perlunya permit untuk berkempen rumah ke rumah dalam sidang Dewan Rakyat pagi esok.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar akan membentangkan usul tersebut.
Menurutnya, pihaknya juga akan membawa kes tersebut ke mahkamah untuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dari pihak pembangkang kita akan ambil tindakan. Pertamanya, esok melalui Tanjung Karang, beliau akan bentangkan usul di Parlimen dan kita juga akan bawa kes ini ke mahkamah untuk mencabar tindakan SPR.
“Usul telah dihantar kepada Speaker dan tengoklah sama ada Speaker benarkan atau tidak esok. Tanjung Karang dah hantar, terserah kepada Speaker, budi bicara beliau.
“Kalau terima kita akan bahaskan usul ini dan soalan pagi esok, soalan kepada menteri, Pengerang (Datuk Seri Azalina Othman Said) akan bertanya isu ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Tambah beliau, pihaknya mungkin akan membawa kes tersebut ke mahkamah selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
“Dua hari lagi sebelum PRK, kalau nak failkan sekarang mungkin agak sukar dan lama. Jadi kita ambil tindakan mahkamah untuk akan datang.
“Kita nak dapatkan keputusan mahkamah untuk isytiharkan adalah tindakan SPR ikut undang-undang atau bertentangan undang-undang
“Tidak ada isu kalah atau menang. Kita menang sekalipun kita akan bawa, ini peraturan,” katanya.
Semalam Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengingatkan kempen yang dibuat dari rumah ke rumah perlu mendapat permit daripada polis kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.
Katanya, program tinjauan mesra (walkabout) yang turut dianggap sebagai kempen bergerak perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
Tambah beliau, semua parti atau calon terlibat diingatkan agar mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen khususnya melibatkan permohonan permit kempen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!