Polis diminta lebih bertimbang rasa lulus permit kempen
PONTIAN - Polis diminta lebih bertimbang rasa meluluskan permit kempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertimbangan itu bagi memastikan calon dan jurukempen parti bertanding sama ada parti kerajaan atau pembangkang diberi ruang untuk berkempen.
Menurutnya, pertimbangan itu perlu diberikan bagi menyuburkan sistem demokrasi negara ini asalkan tiada timbul isu pergaduhan atau keadaan tidak baik.
"Justeru, saya harap polis walaupun di bawah bidang kuasa saya, lebih bertimbang rasa (meluluskan permit kempen) asalkan tidak timbul soal pergaduhan atau keadaan tidak baik.
"Kalau ada jurukempen atau yang bantu calon mana-mana parti (bertanding), mereka harus diberikan ruang.
"Ini bukan soal PH (Pakatan Harapan) atau parti lain...mereka harus diberikan ruang kerana (amalan) ini sudah zaman-berzaman...kita perlu beri lebih ruang luas dalam sistem demokrasi," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Operasi Utama di Eco Rambah Homestay di sini petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Gerakan alu-alukan arahan permit kempen rumah ke rumah
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun yang mengarahkan semua parti dan calon bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai perlu mendapat permit daripada polis untuk kempen dibuat dari rumah ke rumah.
Soal beliau, di bawah akta mana yang digunakan oleh Azhar Azizan bagi mengklasifikasikan aktiviti itu sebagai suatu bentuk berkempen.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, setakat hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau trend membimbangkan mengenai suasana kempen pilihan raya antara calon-calon bertanding dari sudut keselamatan.
Menurutnya, pihaknya percaya setiap calon bertanding memahami tanggungjawab masing-masing untuk menarik sokongan pengundi.
"Cuma saya minta semua pekerja parti patuh syarat kempen pilihan raya dan tidak menimbulkan provokasi sehingga menjejaskan keselamatan awam," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin mengakui tempoh dua hari terakhir berkempen PRK sangat kritikal apabila masih terdapat sejumlah 12 peratus pengundi atas pagar belum membuat keputusan memilih mana-mana calon bertanding.
Menurutnya, meskipun perjalanan kempen pilihan raya calon PH setakat ini agak memberangsangkan dan menunjukkan petanda kemenangan, usaha mendekati pengundi atas pagar perlu digiatkan sehingga penghujung kempen.
"Jadi tempoh dua hari terakhir adalah peluang kita hendak tahu siapa mereka...setiap pusat daerah mengundi ada pecahan nama, alamat dan nombor telefon mereka, kita akan terus hubungi mereka minta kerjasama mengundi kita kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!