PRK Tanjung Piai: Tun M adakan pertemuan dengan Ketua PDM PH
PONTIAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama-sama Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Perdana Menteri yang memakai kemeja putih, tiba kira-kira jam 4.45 petang sebelum memulakan mesyuarat tersebut kira-kira jam 5 petang di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal; Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; bekas Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong Liew.
Kelihatan kira-kira 70 orang Ketua PDM PH memakai baju merah berada dalam mesyuarat itu.
Dr Mahathir dijadualkan menghadiri Ceramah Mega PH sempena PRK itu di Tapak Terminal Bas Kukup, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian.
Perdana Menteri sebelum ini pernah menyeru pengundi dan penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai melalui sebuah video agar sama-sama hadir ke ceramah tersebut.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!