Isu pertukaran guru: Kaji dulu jangan terburu-buru

Dominic (kanan) dan Wendy pada sidang akhbar di bilik operasi Gerakan hari ini.
Dominic (kanan) dan Wendy pada sidang akhbar di bilik operasi Gerakan hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Dia sepatutnya kaji dulu bukannya bertindak terburu-buru, kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berhubung tindakan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mahmmod Kassim yang membuat laporan polis terhadap dirinya berikutan kenyataannya yang memohon penjelasan berhubung program pertukaran guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Arab Saudi ke negara ini.

Menurunya, tindakan itu dilihat sebagai terburu-buru kerana Mahmood tidak mengkaji dahulu mengenai perkara berkenaan sebelum ia dibangkitkan.

Katanya, beliau turut kehairanan apabila permintaannya agar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan dianggap sebagai satu fitnah.

"Saya tak faham, kenapa bila saya minta supaya Maszlee memberikan penjelasan berhubung perkara itu boleh dianggap fitnah?

"Kalau ada fitnah bolehlah dia buat laporan polis. Jangan dia suka hati nak buat dakwaan atau cuba untuk memfitnahkan saya pula.

"Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya Mahmood melayari Facebook dan baca kenyataan saya. Kalau nak lebih mudah lagi dia boleh tengok video sidang media yang saya buat pada 10 November lalu,” katanya pada sidang akhbar di bilik operasi Gerakan hari ini.

Hadir sama calon Gerakan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Wendy Subramaniam.

Mahmood juga memaklumkan, pihaknya membuat laporan polis terhadap Dominic atas dakwaan memfitnah dengan menggunakan fakta salah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap menteri pendidikan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dominic turut berterima kasih kepada Mahmood kerana tindakannya itu secara tidak langsung membuktikan tuduhan bahawa Gerakan menerima dana RM1 juta daripada PH sebagai tidak benar.

Katanya, andai tuduhan yang dilemparkan kepada Gerakan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai selama ini adalah benar, sudah pasti tidak akan ada laporan polis dibuat seperti itu.

"Oleh itu khabar-khabar angin yang didengar adalah dengan jelasnya tidak benar dan ia adalah tuduhan dengan niat untuk mensabotaj calon kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!