Pemuda UMNO desak SPR jawab status kesalahan PH semasa kempen
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menuntut penjelasan segera Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung sepuluh kesalahan pilihan raya yang didakwa dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, SPR perlu menjelaskan status kesalahan-kesalahan yang dilakukan PH itu sebelum mengenakan sebarang syarat baharu terhadap jentera parti dan calon.
"Pemuda UMNO kesal dengan tindakan SPR yang tiba-tiba mengenakan syarat baharu terhadap jentera parti dan calon iaitu keperluan mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ingin berkempen berjumpa pengundi dari rumah ke rumah.
"Persoalannya kenapa sekarang ketika berbaki hanya tiga hari sahaja lagi sebelum hari pengundian PRK Tanjung Piai baru dikenakan syarat berkenaan?
"Sebelum mengenakan syarat baharu yang masih kabur bahkan tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas mengenainya, Pemuda UMNO menuntut SPR segera menjelaskan status kesalahan-kesalahan yang dilakukan PH di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!