Kerajaan sedia insentif tunai, bukan tunai RM20.7 bilion untuk pendigitalan
CYBERJAYA - Kerajaan akan menyediakan insentif tunai dan bukan tunai berjumlah RM20.7 bilion bagi tempoh lebih lima tahun bermula tahun depan untuk membantu peralihan syarikat Malaysia kepada Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Lagipun, sama ada anda mendigitalkan operasi, atau anda tidak akan bertahan. Ini adalah realiti yang kita perlu hadapi,” katanya pada mesyuarat jawatankuasa pemandu Perikatan E-Dagang Pan-Asia (PAA) ke-60 di sini hari ini.
Memetik Jabatan Perangkaan, Guan Eng berkata, ekonomi digital menyumbang 18.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2018.
Beliau berkata, usaha kerajaan itu akan meningkatkan lagi sumbangan tersebut dengan Perbadanan Data Antarabangsa menjangkakan ia mencecah 21 peratus menjelang 2022.
"Kerajaan membantu pendigitalan dan perancangan ekonomi dengan melabur secara besar-besaran dalam prasarana digital, melaksanakan reformasi pasaran jalur lebar dan menggalakkan perniagaan kecil dan besar membuat perubahan ke arah Industri 4.0," katanya.
Guan Eng berkata, kerajaan akan melabur sebanyak RM21.6 bilion menerusi Perkongsian Awam-Swasta bagi tempoh 5 tahun dari 2019 hingga 2023 di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara yang akan meluaskan lagi Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan berkualiti tinggi di seluruh negara di samping menyediakan perkhidmatan mampu bayar kepada rakyat Malaysia.
"Ini akan meletakkan asas bagi pelaksanaan menyeluruh 5G di Malaysia dan memberikan negara kelebihan perintis dalam era industri 4.0," katanya.
Pada masa hadapan beliau berkata, semua sektor di negara ini perlu bersiap sedia bagi transformasi digital yang disokong oleh Industri 4.0.
Guan Eng juga berkata, Malaysia akan terus menyokong pembangunan rangka kerja perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang bebas di samping menyediakan tahap sama rata dan akses pasaran yang melindungi pemain lebih kecil.
"Era ‘kerajaan tahu yang terbaik’ sudah berakhir, kita perlu memberikan kebebasan kepada profesional dan pakar untuk melakukan apa yang terbaik daripada mereka,” katanya.
Meskipun inisiatif diterajui sektor awam adalah penting, beliau berkata, sektor swasta perlu menerajui inisiatif mereka sendiri untuk meningkatkan daya saing mereka yang akan memberi manfaat kepada negara.
Justeru, katanya, kerajaan menyokong perkongsian 4P, yang melibatkan sektor awam, sektor swasta, profesional dan rakyat.
Katanya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd, sebagai pengendali National Single Window (NSW) Malaysia bagi Pemudahan Perdagangan akan terus giat terlibat dalam inisiatif industri seperti menganjurkan PAA, yang bertujuan menambah baik industri dan meningkatkan kerjasama serta menyokong rangka kerja perdagangan pelbagai hala dan platform e-dagang.
Ekosistem NSW Dagang Net ketika ini dihubungkan ke 167 stesen kastam, 24 pelabuhan laut, 56 jeti persendirian, 14 bank termasuk lima bank asing, lebih 30 agensi kerajaan yang mengeluarkan permit, dan 30,000 pengimport, pengeksport, ejen penghantar dan pengeluar yang memproses 200 juta urus niaga setiap tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!