Strategi ampuh Harimau Malaya

Cheng Hoe (dua dari kanan) bersalaman dengan Ketua Jurulatih Thailand, Akira Nishino di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Cheng Hoe (dua dari kanan) bersalaman dengan Ketua Jurulatih Thailand, Akira Nishino di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
A
A
A

HARIMAU Malaya akan tampil dengan taktikal berbeza ketika menentang Thailand pada aksi keempat Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Menyedari ranjau sukar bakal diharungi anak-anak buahnya, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau perlu mencongak strategi paling ampuh untuk menundukkan skuad Gajah Perang itu.

“Untuk perlawanan esok, seperti yang kita tahu ia satu perlawanan penting bertemu Thailand dan mereka membawa pasukan kuat dan pemain utama.

“Sebagai seorang jurulatih, saya perlu beri tumpuan yang berbeza kerana kita tahu Thailand berlainan berbanding tahun lepas (ketika pertemuan dalam saingan Piala AFF Suzuki).

“Malah, kita tidak boleh samakan perlawanan menentang Tajikisktan dengan perlawanan menentang Thailand kerana kedua-dua pasukan sangat berbeza,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Cheng Hoe menegaskan, Harimau Malaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada beberapa pemain utama Thailand dalam perlawanan tersebut, sebaliknya berwaspada dengan keseluruhan skuad Gajah Perang itu.

Beliau menyedari Thailand mempunyai kekuatan di bahagian serangan selepas menyenaraikan pemain seperti Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin dan Ekanit Panya yang sememangnya mampu memberikan ancaman kepada kubu Harimau Malaya.

“Chanatip contohnya dia sudah lama bersama Thailand. Dia merupakan seorang pemain yang cukup kreatif dan berada pada prestasi terbaik serta mampu memberikan keyakinan kepada Thailand.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kami tidak akan fokus kepada dia sahaja sebaliknya akan menumpukan kepada kesemua pemain dalam pasukan itu,” jelas pengendali berusia 51 tahun itu.

Cheng Hoe turut mengakui Thailand akan hadir dengan kekuatan berbeza, apatah lagi mereka mendapat sentuhan jurulatih baharu dari Jepun, Akira Nishino.

“Thailand mendapat seorang jurulatih yang bagus dan berpengalaman. Kami perlu berjaga-jaga dengan corak permainan pasukan Thailand yang bagi saya sempurna pada semua bahagian.

"Saya cuma berharap aksi terbaik daripada para pemain selain mereka perlu bermain dengan penuh berdisiplin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!