Mahkamah EU arah label produk makanan Israel
BRUSSELS - Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) semalam mengarahkan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) supaya melabelkan produk makanan dari penempatan haram Yahudi di Israel.
Selain itu, negara blok terbabit mesti mewajibkan peruncit supaya meletakkan produk terbabit dengan label khas untuk mengelakkan kekeliruan pengguna.
Jelasnya, langkah melabel kesemua produk dari Israel itu bukan hanya membolehkan pengguna di EU membuat pertimbangan etika tentang pematuhan undang-undang antarabangsa.
Mahkamah juga menyatakan tentang peraturan EU berhubung melabel asal produk bagi membolehkan pengguna untuk membuat pilihan berkaitan kesihatan, ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Kes tersebut dikemukakan kepada mahkamah selepas sebuah kilang pembuat wain di kawasan penempatan haram berhampiran Baitulmaqdis mencabar permohonan dikemukakan Perancis tentang keputusan ECJ sebelum ini yang menyokong penggunaan label asal, namun ia tidak menjadikannya terikat secara sah. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!