Wartawan dicium peserta protes ketika siaran langsung
BEIRUT - Sebuah rakaman video memaparkan seorang penunjuk perasaan di Lubnan mencium pipi wartawan Sky News Arabia berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tular dan menerima pelbagai reaksi di media sosial.
Darine El Helwe sedang membuat liputan secara langsung dari Dataran Riad Soloh sebelum dia dicium secara tiba-tiba.
Menerusi video itu, El Helwe turut kelihatan terkejut dan terpaku selama beberapa saat sambil ketawa sebelum dia meneruskan laporannya.
Tindakan peserta protes lelaki itu bagaimanapun mencetuskan perdebatan hangat antara pengguna media sosial, aktivis dan wartawan.
Segelintir menganggap ia sebagai 'comel' dan kelakar manakala kebanyakannya melihat ia perbuatan tidak wajar dan satu bentuk gangguan.
El Helwe dalam satu kenyataan menganggap ciuman itu sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima.
'Saya sedang bersiaran langsung ketika itu apabila dia tiba-tiba mencium pipi saya. Saya cuba meneruskan kerja walaupun suara saya ketika itu mula bergetar.
"Walaupun terkejut, saya cuba mengawal emosi dan terus memandang kamera seperti biasa," katanya.
Difahamkan, lelaki terbabit sudah memohon maaf secara terbuka di Facebook atas perbuatannya itu.
Walaupun Lubnan telah dilanda siri protes sejak 17 Oktober lalu, penunjuk perasaan tetap menikmati detik itu dengan mengambil swafoto dan video bersama petugas media yang dianggap sebagai wira oleh mereka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!