Pang Ron, Yee See bermula langkah kanan
BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See bermula dengan langkah kanan hari ini apabila berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 yang berlangsung di Dewan 2020 di sini.
Pasangan beregu negara itu menempah slot ke pusingan seterusnya selepas menewaskan gandingan Singapura, Bimo Adi Prokoso-Yujia Jin dalam perlawanan yang berlarutan sehingga ke set penentuan pada pusingan pertama semalam.
Gandingan Malaysia itu yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan, menang set pertama 21-18, namun tumpas di set kedua 17-21 sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-16 di set ketiga.
Pang Ron, 21, berkata, beliau dan pasangannya Yee See, 24, akan berusaha keras demi untuk meraih kejuaraan pada kejohanan kali ini.
“Semua pemain yang beraksi di sini hebat dan idamkan kejuaraan. Kami berdua akan buat yang terbaik untuk mengharumkan nama negara,” katanya.
Kejohanan yang bermula semalam sehingga Ahad ini menyaksikan penyertaan 279 pemain dari 14 negara termasuk India, Jepun, Thailand dan Singapura.
Kejohanan selama lima hari itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai ASD250,000 (lebih RM1 juta).
Untuk rekod, pasangan beregu campuran negara itu merangkul kejuaraan pada Terbuka Hyderabad, India, Ogos lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!