Arwah sempat ucap selamat hari lahir kepada ibu

Allahyarham Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli (Laporan Sinar Harian semalam )
Allahyarham Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli (Laporan Sinar Harian semalam )
A
A
A

KOTA TINGGI - Inspektor polis yang maut ketika menyertai konvoi motosikal di Pekan, Pahang, pagi semalam, sempat menelefon ibunya dan mengucapkan selamat hari lahir malam Selasa lalu.

Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli, 26, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat trafik di Bachok, Kelantan, menyertai Konvoi Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas B (KAMMB) maut akibat kemalangan di Kilometer 51, Jalan Kuantan - Segamat dalam kejadian pada 11.05 pagi itu.

Ibunyam, Ruziah Jaini berasa terkilan kerana tidak dapat melayan perbualan anak sulungnya itu menerusi panggilan telefon bimbit.

"Dia mengucapkan selamat ulang tahun ke-48 kelahiran. Arwah tetap mahu berbual dan berulang-ulang kali minta saya doakan untuk dirinya,” katanya penuh hiba.

Wanita itu tidak menduga perbualan bersama anak sulungnya itu adalah kali terakhir.

Sementara itu, nenek Allahyarham, Fatimah@Hamidah Kalam, 75, mengakui amat terkejut sejurus menerima berita kematian cucu keenamnya itu.

"Kami sekeluarga amat terasa kehilangan Muhammad Hilmie, arwah baru sertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun lepas.

"Allahyarham tinggal bersama kami sejak bersekolah darjah satu. Sebelum ini dia sudah bekerja swasta dan bergaji lumayan tetapi berhenti kerana amat meminati kerja polis," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Fatimah, Muhammad Hilmie yang baru berkahwin dengan Norliyana Nordin, Ogos lalu memang rapat dengan keluarga serta seorang yang amat bertanggungjawab.

"Kali terakhir jumpa pada cuti Deepavali lalu. Dia baik, dia juga tanggung enam adik-adiknya yang masih belajar dan bersekolah," katanya.

Jenazah Muhammad Hilmie selamat dikebumikan pada jam 11.15 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Air Tawar 1.

Jenazah yang siap dikafankan dibawa dengan kenderaan jenazah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang dari Hospital Pekan jam 6 petang dan tiba pada jam 9.43 malam di rumah datuknya, Mohd Ani@Jaini Md Deris di Felda berkenaan.

Hampir 200 penduduk menghadiri majlis pengebumian tersebut termasuk wakil Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia Bakri, Inspektor Mazlan Adam serta anggota PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang dan Kota Tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!