Lima lelaki miliki senjata, dadah diberkas
PETALING JAYA – Seramai lima lelaki diberkas sepasukan anggota polis kerana dipercayai memiliki senjata dan dadah di jalan SS2/35, di sini semalam.
Ketika kejadian pada jam 2 petang itu, sepasukan anggota tugas ronda cegah jenayah bermotosikal dari Balai Polis Sea Park mengekori sebuah kereta jenia Perodua Alza dinaiki lima lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, anggota polis berkenaan menahan kereta tersebut tetapi pemandu enggan berhenti dan terus memecut kenderaan tersebut.
“Kereta itu kemudiannya telah melanggar beberapa buah kereta dan motosikal milik orang awam di jalan SS2/35 sebelum terbabas ke dalam longkang.
“Anggota polis seterusnya menahan kesemua lelaki itu dan dibawa ke Balai Polis Sea Park untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan media.
Mohd Zani berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 19 hingga 34 tahun dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Saringan awal air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah. Kita turut merampas sebilah parang bersarung berukuran kira-kira 31 sentimeter (cm), satu senjata mempertahankan diri Nunchaku kayu ukuran 28.5 cm panjang dan enam tiub dadah disyaki dadah heroin,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!