Guan Eng ‘konar’ baring, sindir Najib
KUALA LUMPUR - Sindir-menyindir membabitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng nampaknya tidak berpenghujung.
Hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan kehairanannya dengan pendirian Guan Eng yang berubah-ubah ketika membicarakan keadaan ekonomi negara.
Menurut Najib, beliau telah memberi amaran baru-baru ini mengatakan tahun 2019 adalah tahun mencabar untuk ekonomi Malaysia.
“Masa itu juga, Guan Eng bersungguh kata petunjuk ekonomi untuk 2019 adalah sangat menggalakkan.
“Tak sampai seminggu, Guan Eng membuat pusingan U lagi dan sekarang dia kata 2019 ialah tahun mencabar untuk ekonomi Malaysia.
“Ekonomi negara pun nak U-Turn? Mungkin tak pernah berlaku dalam sejarah di mana menteri kewangan sebuah negara boleh konar baring setajam ini,” katanya dalam laman Facebook beliau.
Secara berseloroh, Najib menegaskan penganalisis ekonomi dan pelabur asing pun ‘pening’ melihat keadaan ekonomi Malaysia yang berubah-ubah.
“Sekejap ekonomi negara sangat menggalakkan. Sekejap ekonomi negara mencabar.
“Penganalisa ekonomi dan pelabur-pelabur asing pun pening,” ujarnya.
Hari ini, Guan Eng berkata tahun 2019 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi Malaysia berikutan impak faktor luaran termasuk pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan.
Menurutnya, faktor lain yang menjadi penyumbang adalah kebimbangan geopolitik di Timur Tengah, pelaksanaan monetari global yang lebih ketat serta ketidaktentuan harga minyak.
Menurutnya, semua faktor itu akan menyebabkan ekonomi Malaysia terutamanya pasaran saham tidak terkecuali daripada impak faktor tersebut.
Begitupun, beliau sebaliknya optimis dengan keupayaan ekonomi negara untuk kekal pada haluan pertumbuhan yang stabil, didorong oleh permintaan luaran serta domestik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!