Terengganu warta garis panduan hiburan tahun depan

Ariffin Deraman
Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Garis panduan berhubung penganjuran sebarang program dan aktiviti berbentuk hiburan, kebudayaan dan pelancongan di Terengganu akan diwartakan pada Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, selepas digazetkan nanti ia akan digunapakai oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Menurutnya, garis panduan itu sudah siap sepenuhnya dan kerajaan akan memberi penerangan kepada PBT, agensi pelancongan dan pihak berkaitan sebelum digunapakai tahun depan.

“Semua kertas telah siap dan kita akan panggil semua PBT, pihak berkaitan terlebih dahulu untuk memberi penerangan mengenai garis panduan terbabit dalam sesi tertutup sebelum pelaksanaannya nanti.

"Sebab itu kita terpaksa tangguhkan dahulu semua program hiburan dan kebudayaan negeri sebelum garis panduan ini diwartakan bagi mengelak timbulnya isu yang tidak menyenangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering hari ini.

Ariffin berkata, apabila diwartakan kelak, garis panduan yang turut meliputi peraturan-peraturan bagi orang bukan Islam itu akan menjadi panduan kepada semua penganjuran program hiburan, kebudayaan dan pelancongan agar tidak bercanggah dengan tuntutan syariah.

Terengganu juga katanya, menjadikan Kelantan sebagai rujukan dalam proses merangka garis panduan berkenaan memandangkan negeri yang ditadbir oleh Pas tersebut lebih berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

“Semua sekali ada dalam garis panduan itu termasuk bagi yang bukan Islam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!