[VIDEO] 'Tolonglah pertimbangkan pampasan kami'
ALOR SETAR - [KEMASKINI] Kerajaan Kedah diharap dapat mempertimbangkan sebarang pampasan kepada pemilik rumah dan premis sebuah stesen minyak yang dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap (PDTPT) pada Ahad lalu.
Pemilik rumah, Mahani Ahmad, 56, berkata, dia kini bersama dua lagi anaknya menyewa di sebuah rumah di Kampung Tanjung, Padang Sanai, Kuala Nerang dengan kadar sewa sebanyak RM350 sebulan.
Dia mendakwa kerugian kira-kira RM230, 000 selepas kediaman yang dibina Allahyarham suaminya sejak lebih 20 tahun lalu dirobohkan tanpa menerima sebarang pampasan.
"Sekarang saya perlu membayar sewa rumah dan saya menuntut PDTPT menunaikan janji lisan mereka membayar sewa rumah sebanyak RM500 sebulan selama setahun sebelum saya ditawarkan menduduki rumah PPR (Program Perumahan Rakyat).
"Setakat ini saya masih belum terima sebarang pampasan seperti dijanjikan dan berharap mereka tunaikan termasuk kos mengangkut barang dan pindah sebanyak RM3,000," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel dekat sini hari ini.
Mahani yang juga merupakan ibu tunggal berkata, dia perlu menanggung dua lagi anak yang masih belajar sementara empat lagi anaknya sudah bekerja.
"Saya bergantung sepenuhnya kepada anak-anak yang hanya bekerja biasa. Saya harap kerajaan dapat pertimbangkan sebarang pampasan buat kami ini," katanya.
Sementara itu, pemilik stesen minyak, Lew Han Eng,44, pula berkata, selain menanggung kerugian yang sangat tinggi, dia juga pening memikirkan nasib tujuh pekerjanya yang hilang pekerjaan sekelip mata.
"Disebabkan perobohan ini, banyak orang yang terkesan. Saya terima notis merobohkan premis pada 22 Oktober tanpa sebarang keputusan sama ada pampasan akan dibayar atau tidak," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek KRC: Pengusaha stesen minyak kecewa tak dapat pampasan
Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Daerah Padang Terap turut meletakkan jawatan bersama seorang lagi ahli majlis iaitu Ong Keen Tong, 53, dan kedua-duanya adalah wakil dari DAP.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir pada Selasa lalu menjelaskan tiada sebarang pampasan akan diberikan kepada pemilik stesen minyak dan pemilik rumah kerana menyalahi peraturan kerana premis dibina atas tanah pertanian dan atas tanah kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!