Tunjuk bukti PH guna sentimen kaum ketika kempen: Salahuddin
PONTIAN - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mencabar parti pembangkang yang menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) memainkan sentimen kaum ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai untuk membuktikan dakwaan itu.
Salahuddin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuktikan siapa pemimpin dalam PH yang didakwa memainkan sentimen kaum dan agama dalam kempen.
"Tunjukkanlah bukti ataupun keluarkanlah di video ataupun media, siapa dia (pemimpin) yang main isu perkauman dalam PH...kalau cakap sahaja, itu sekadar mendakwa sahajalah. Tapi pihak sebenar yang memainkan isu agama yang berputar-putar adalah mereka sendiri (BN)," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Media PRK Tanjung Piai di Stadium Mini Pontian di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan mendakwa pemimpin PH telah memainkan isu perkauman sepanjang kempen PRK di Tanjung Piai.
Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini, Salahuddin menyifatkan kerjasama itu hanyalah kepentingan politik semata-mata.
Ahli Parlimen Pulai itu berkata, Pas dilihat ‘berpusing-pusing’ dalam menyatakan sokongan terhadap calon BN.
"Dalam kenyataan terbaharu pula mereka mengatakan undi MCA kali ini adalah tidak salah tapi ketika di (PRK Parlimen) Cameron Highlands dahulu,‘fatwa’ wajibkan mengundi untuk calon Islam,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!