Kontroversi permit kempen rumah ke rumah selesai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kontroversi mengenai keperluan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menemui titik noktah apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas memutuskan Seksyen 24 B (3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya tidak secara jelas merujuk kepada tindakan tersebut.

Dalam kenyataannya, Tommy berkata, peruntukan yang digunakan oleh polis adalah tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun dari pintu ke pintu.

"Hakikatnya sejarah sejak 1955 membuktikan kaedah untuk meraih undi ini paling popular digunakan calon-calon tanpa perlu mendapatkan permit sedemikian," katanya.

Beliau berkata, sejak tahun 1955, 14 pilihan raya umum dan beratus-ratus PRK telah diadakan bagi membolehkan masyarakat memilih wakil rakyatnya.

"Mengundi merupakan hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen," katanya.

Seksyen 24 B (3) menyebut acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.

Isu keperluan permit bagi kempen pintu ke pintu timbul apabila Ketua Polis Johor, Mohd Kamarudin Md Din memutuskan setiap parti perlu membuat permohonan untuk tujuan itu.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi malahan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meminta kelonggaran keperluan permit kempen rumah ke rumah untuk PRK itu memandangkan jentera kempen perlu bertemu dengan seramai penduduk yang boleh bagi merayu undi.

Tommy Thomas
Tommy Thomas

Badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 juga mengkritik langkah itu dan meminta polis agar tidak 'melampaui batasan' yang ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Isu ini turut hangat di Dewan Rakyat hari ini apabila blok pembangkang membawa usul tersebut namun ditolak Timbalan Speaker, Nga Kor Ming atas alasan fakta yang dikemukakan (BN-Tanjong Karang) Tan Sri Noh Omar adalah tidak tepat.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan mengingatkan semua pihak bertanding agar mendapatkan permit polis untuk kempen rumah ke rumah.

Sementara itu di JERANTUT, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan keperluan permit untuk kempen dari rumah ke rumah atau tinjauan mesra (walkabout) dilakukan bukan kerana desakan mana-mana pihak.

“Arahan permohonan permit bertujuan mengelakkan pertembungan antara penyokong parti yang bertanding. Mereka perlu mengisi borang dengan butiran kempen atas faktor keselamatan.

“Saya tidak mahu ada sekatan (pada) politik dan kita mahu (ada) demokrasi namun ada pertimbangan keselamatan. Jika berlaku apa-apa nanti, saya tidak mahu lepas tangan.

“Tapi dalam isu ini dua-dua pihak juga marah dan tidak puas hati, baik daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN). Jika kedua-dua pihak tidak mahu, kita boleh tarik semula (arahan itu) bila-bila masa,” katanya.

Abdul Hamid
Abdul Hamid

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat kecoh isu permit kempen rumah ke rumah

Berapa ratus permit polis perlu keluarkan?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!