Enam anjing mati diracun

Bangkai anjing yang dikongsi di FB Persatuan Haiwan Malaysia pada semalam dan hari ini.
Bangkai anjing yang dikongsi di FB Persatuan Haiwan Malaysia pada semalam dan hari ini.
A
A
A

RAWANG - Bukan lima tapi enam ekor anjing jalanan mati dipercayai diracun di Bandar Tasik Puteri di sini, dedah Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) di laman sosial Facebooknya hari ini.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, pengadu dan beberapa penduduk akan membuat laporan polis malam ini meminta siasatan dan tindakan selanjutnya diambil susulan kematian enam ekor anjing jalanan berunsur khianat akibat diracun

Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang pengadu yang juga penduduk di kejiranan itu pada Selasa lalu.

"Bangkai anjing tersebut bergelimpangan di jalan antara Bandar Tasik Puteri hingga M Residence yang mulanya lima ekor dan tambahan seekor pada hari ini.

"Pihak kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ini yang disifatkan zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ia antara kes penyeksaan anjing terburuk bagi tahun ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Arie berkata, tidak adil kes serangan anjing ke atas manusia dijadikan sebab menakut-nakutkan masyarakat untuk 'menghalalkan' pembunuhan anjing dengan cara kejam.

"Tiga kes serangan anjing yang berlaku tahun ini melibatkan anjing berpemilik yang sememangnya dilatih untuk memberikan pelindungan kepada tuannya.

"Mangsa yang terlibat boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik anjing berkenaan atas kegagalan menjaga haiwan peliharaan mereka sehingga membuat serangan dan menyebabkan kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara anjing jalanan ini berbeza kerana mempunyai sifat penakut dan mempertahankan diri, setakat ini belum ada rekod kes anjing-anjing ini menyerang atau mencederakan manusia," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam tidak membuat tindakan sendiri sebaliknya menggunakan saluran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai peralatan dan kemudahan lengkap bagi menyelesaikan anjing terbiar di kawasan perumahan.

"MAA akan pantau penangkapan haiwan ini bagi memastikan PBT mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dan kaedah yang digunakan tidak menyakitkan binatang serta haiwan yang ditangkap dihantar ke pusat tahanan anjing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!