Pemilik maahad tahfiz didakwa lagi

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Sepasang suami isteri yang mengusahakan sebuah maahad tahfiz di sini didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah wang pembayaran beberapa pelajar institusi itu untuk melanjutkan pelajaran ke Turki.

Pasangan tersebut, Ahmad Shukri Ghazali, 47, dan Zunairah Awang, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

Pada September lepas, media melaporkan kedua-dua tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang beberapa pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Turki manakala pada Oktober pula, mereka didakwa terhadap tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan proses penghantaran pelajar ke negara sama di mahkamah sama.

Mengikut tiga pertuduhan hari ini yang dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman, suami isteri tersebut sebagai pengerusi dan pengetua sekolah berkenaan dituduh bersama-sama menyalahgunakan wang pembayaran pembelajaran ke Turki milik tiga pelajar institusi itu iaitu masing-masing sebanyak RM26,200, RM17,000 dan RM17,000.

Mereka didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan berkenaan di Maybank Bandar Baru Klang dan di Maahad Tahfiz Al-Ghazaly, Kampung Sungai Udang di sini antara Oktober hingga Disember 2018.

Bagi tiga lagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail pula, Ahmad Shukri dan Zunairah didakwa bersama-sama menyalahgunakan wang pembayaran pembelajaran ke Turki milik tiga pelajar maahad tahfiz berkenaan masing-masing sebanyak RM14,800, RM16,800 dan RM14,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank, Jalan Meru dan di maahad tahfiz tersebut antara 13 November 2018 hingga 12 Mei lepas.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin, suami isteri berkenaan didakwa bersama-sama melakukan kesalahan sama melibatkan wang sebanyak RM17,500 dan RM17,000 milik dua lagi pelajar mahaad tahfiz tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di CIMB Bank Jalan Meru dan di maahad tahfiz berkenaan antara 13 November 2018 hingga 16 Januari lepas.

Bagi kesemua lapan pertuduhan itu, Ahmad Shukri dan Zunairah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan sehingga lima tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Ermadieyani Ismadi, Nor Suhaili Abu Bakar dan Ahmad Faiz Abd Raoff yang menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam pasangan suami isteri tersebut, Mohd Aiziezuddin Suib memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan memandangkan anak guamnya perlu menanggung tujuh anak mereka serta seorang ibu berumur 80 tahun selain perbelanjaan ke atas Zunairah yang dijangka melahirkan anak kelapan pasangan tersebut bulan depan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM27,500 setiap seorang bagi kesemua lapan pertuduhan dengan masing-masing seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 10 Disember ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!