Ramai pekerja Bangladesh jadi PATI kerana terbeban hutang

P Thiagaraja
P Thiagaraja
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 70 peratus pekerja warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia tidak pulang ke negara asalnya kerana dibebani hutang di negara mereka.

Mereka tidak mampu untuk membayar semula hutang itu kerana kontrak selama dua tahun bekerja di Malaysia menyukarkan usaha mereka untuk melangsaikan hutang lalu memilih untuk menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing, Datuk Seri P Thiagaraja yang mendakwa mereka terpaksa berhutang bahkan ada yang menjual tanah untuk mencari rezeki di Malaysia.

“Kita menerima banyak aduan daripada mereka, ada yang mendakwa perlu menjelaskan hutang berjumlah RM15,000 ke RM20,000 untuk membayar agensi pekerjaan di Bangladesh.

“Anggaran gaji pokok mereka terima antara RM1,050 ke RM1,100. Dengan gaji itu, mereka tidak mampu melangsaikan hutang dengan tempoh bekerja hanya dua atau tiga tahun di negara kita.

“Selepas kontrak tamat atau majikan menghadapi masalah, mereka memilih untuk menjadi PATI, menetap di Malaysia meskipun mereka tahu ia salah,” katanya pada sidang media bagi membantah pelaksanaan semula Sistem Pengambilan Pekerja Asing (SPPA) di sini hari ini.

Thiagaraja berkata, mereka tiada pilihan selain berbuat demikian kerana jika pulang ke Bangladesh, mereka masih dibebani hutang malah keluarga mereka terjejas sama.

“Situasi ini menyebabkan berlakunya lambakan PATI di Malaysia. Bila ini berlaku, negara juga kerugian levi, peningkatan kos di depoh tahanan yang mencecah ratusan juta ringgit setahun serta pelbagai kos tersembunyi yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Thiagaraja berkata, isu lambakan PATI khususnya warga Bangladesh wujud sejak Sistem Pengambilan Pekerja Asing (SPPA) diperkenalkan pada 2017.

Menurutnya, situasi semakin meruncing apabila hanya 10 agensi pekerjaan di Bangladesh dibenarkan mengurus pengambilan rakyat mereka ke negara ini sedangkan terdapat kira-kira 2,000 agensi pekerjaan di sana.

“Apabila wujud monopoli, agensi menetapkan harga lebih tinggi. Sistem terbuka seperti di Singapura, UAE dan Jepun, kos yang perlu dibayar oleh pekerja Bangladesh kepada agensi pekerjaan di negara mereka sekitar RM6,000 sahaja.

“Monopoli agensi pekerjaan juga menyebabkan pengambilan pekerja yang tidak berkualiti dan tidak menepati kehendak majikan,” katanya.

Pada 7 November lalu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, keputusan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh akan dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini.

Kenyataan beliau dibuat susulan pertemuan dengan Menteri Kebajikan dan Pekerjaan Pekerja Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!