Robot bantu tentera India perangi militan di Kashmir

Robot terbabit akan ditempatkan pada barisan hadapan.
Robot terbabit akan ditempatkan pada barisan hadapan.
A
A
A

NEW DELHI - Tentera India akan dibantu robot dalam operasi memerangi militan di wilayah Jammu dan Kashmir (J&K) tidak lama lagi.

Kementerian Pertahanan memaklumkan ia telah memulakan proses pengambilan kira-kira 550 unit robot pengawasan dengan tempoh perkhidmatan minimum selama 25 tahun untuk operasi membanteras pemberontakan di wilayah bergolak itu.

"Robot-robot tersebut juga perlu mempunyai keupayaan untuk memanjat tangga selain melemparkan bom tangan ke arah kumpulan militan. Ia juga harus berupaya meredah air pada kedalaman minimum 20 sentimeter," kata pegawai kanan tentera.

Menurutnya lagi, robot terbabit akan berada di barisan hadapan pertahanan ketika operasi kepung dan cari di Lembah Kashmir tersebut.

"Langkah itu dapat mengelakkan tentera terkorban ketika misi tersebut,"katanya.

Kementerian terbabit turut meminta industri tempatan membuat pembentangan tentang produk robot pengawasan tersebut pada 19 November depan berikutan ia kini cuba untuk mengurangkan kebergantungan terhadap alatan pertahanan yang diimport.

Difahamkan, platform robot pengawasan itu akan terdiri daripada unit pelancaran, kamera pemerhati untuk mod siang dan malam serta sistem penghantaran dengan jarak jangkauan antara 150 meter dan 200 meter.

"Menariknya, ia akan membantu pemantauan masa nyata dinamik aktiviti militan ketika operasi itu," katanya yang mencadangkan supaya saiz robot itu ringan, tahan lasak dan mudah alih serta mampu menahan serangan militan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!