Pasukan khas tangani pencerobohan tanah Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) sedang merangka satu skop tugasan khusus untuk tanah tinggi Cameron Highlands dan Lojing di Kelantan sebelum dibentangkan dalam satu mesyuarat Majlis Kanun Tanah Negara pada April nanti.
Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar berkata, untuk itu satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi menyiapkan isu pencerobohan, mengenal pasti cerun berbahaya dan menentukan penguatkuasaan undang-undang yang setimpal bagi mencegah penerokaan tanah daripada terus berleluasa.
Menurutnya, kementeriannya memandang serius akan perkara itu berikutan kerajaan berbelanja besar seperti membuat program mitigasi tanah runtuh dan banjir di Cameron Highlands namun kurang mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.
“Kalau kementerian belanja RM400 juta seperti di projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Ringlet, tetapi ada pencerobohan tanah untuk tujuan pertanian tanpa kelulusan, tanpa TOL (lesen pendudukan sementara), berapa pun kita belanja untuk atasi masalah ini tidak akan tercapai.
“Oleh sebab itu, kita wujudkan satu ‘task force’ dan ia disertai KATS, Kerajaan Pahang dan Kelantan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pejabat Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di pejabat tapak rancangan tebatan banjir Lembah Bertam - Sungai Ringlet di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran yang diumum sebagai calon PH bagi PRK Parlimen Cameron Highlands, 26 Jan ini.
Xavier berkata, tujuan pihaknya mewujudkan pasukan petugas khas itu bagi melihat aspek secara holistik, satu kefahaman melalui program yang dilakukan dari sekarang perlu ada kelulusan dan orang yang ditugaskan melakukan kerja harus bertanggungjawab.
Dalam pada itu, menurutnya kajian keseluruhan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk jabatan-jabatan lain menggunakan kajian berhubung pengurusan dan situasi cerun di Cameron Highlands yang sudah dibuat.
Terdahulu, Xavier turut dibawa ke perkampungan Orang Asli Sungai Tiang di Ringlet di sini dan diberikan taklimat berhubung pelan kajian tanah dan kerja pembaikan cerun dan sistem perparitan untuk cerun kritikal di kampung itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!