Ujian besar UMNO, Pas di kawasan campuran: Najib

Najib menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Kampung Sawah sebentar tadi. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Najib menyampaikan ucapan pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Kampung Sawah sebentar tadi. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Mempertaruhkan calon MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kali ini adalah ujian besar UMNO dan Pas dalam usaha memenangi pilihan raya di kawasan campuran menerusi gabungan Muafakat Nasional.

Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ketika ini, Muafakat Nasional dikatakan hanya boleh memenangi pilihan raya di kawasan majoriti Melayu seperti di Pahang, Kedah Dan Terengganu.

Menurutnya, terdapat juga dakwaan pihak tertentu menyifatkan peluang Muafakat Nasional memenangi kawasan campuran seperti Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai 42 peratus pengundi masyarakat Cina hampir tiada.

"Sebab itu kemenangan Jeck Seng pada PRK kali ini amat penting kerana ianya boleh menjadi ujian besar Pas dan UMNO yang selama ini dianggap tidak boleh memenangi kawasan campuran.

"Kita kena buktikan melalui kemenangan Muafakat Nasional dan calon BN pada PRK kali ini, ianya menunjukkan kerjasama Muafakat Nasional mencakupi kepentingan semua rakyat yang lebih besar daripada mendapatkan kemenangan umat Islam semata-mata.

"Kita boleh menang di Parlimen Tanjung Piai. Jangan kita fikir kepentingan umat Islam semata-mata, sebaliknya kita kena ada matlamat lebih besar untuk menunjukkan agama Islam sebagai agama universal yang turut dihormati umat bukan Islam.

"Jadikan PRK Parlimen Tanjung Piai bukan sembarangan PRK, bukan pilihan raya memenangkan MCA atau BN, tetapi kemenangan Muafakat Nasional dengan agama Islam sebagai agama teras," katanya ketika berceramah pada majlis Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Pekan Nanas, di sini malam ini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta dihadiri lebih 10,000 hadirin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Najib turut membidas tindakan media pro-kerajaan mendakwa Jeck Seng mengeluarkan kenyataan menentang tulisan jawi menerusi catatan dalam laman Facebook peribadinya yang berbahasa Mandarin.

Najib berkata, pihaknya sudah meneliti terjemahan kenyataan itu dan mendapati Jeck Seng tidak pernah menentang tulisan jawi sebagai mana didakwa.

Menurutnya, Jeck Seng dalam kenyataannya menjelaskan tulisan khat sama dengan kaligrafi lain dan mana-mana sekolah bebas hendak mempelajarinya.

"Ada portal memutar belit kenyataan Jeck Seng... Kononnya Jeck Seng menentang tulisan jawi.

"Saya sudah semak dan Jeck Seng tidak pernah menentang tulisan Jawi. Jeck Seng menganggap tulisan khat Jawi sama dengan kaligrafi lain, di mana pelajar sekolah bebas untuk mempelajarinya.

"Jangan termakan dengan putar belit pihak tertentu, jangan termakan hasutan pihak kerajaan kerana pencalonan Jeck Seng boleh menjadi ujian besar Pas dan UMNO dalam inisiatif memenangi kawasan campuran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!