Mereka yang terdesak mainkan politik perkauman

Dr Mahathir menerusi catatan di Twitter. - Foto: Twitter chedetofficial
Dr Mahathir menerusi catatan di Twitter. - Foto: Twitter chedetofficial
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, permainan politik perkauman didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan ketika berkuasa.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menasihati rakyat supaya tidak memberikan mereka peluang untuk terus mengadu-domba rakyat dan cara yang paling mudah ialah tidak mengundi wakil mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibatkan tercetusnya pertembungan di antara kaum kerana bagi mereka, jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir,” kata Dr Mahathir menerusi catatan di Twitter.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau percaya calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai adalah calon yang amat sesuai untuk meneruskan usaha-usaha Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Selain memahami kehendak serta hati budi penduduk setempat, Karmaine pastinya akan mampu meneruskan rancangan pembangunan serta mengagih peruntukan-peruntukan untuk Parlimen ini yang telah berjaya didapatkan dahulu oleh Allahyarham Dr Md Farid,” katanya.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan Karmaine, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan, Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai akan berlangsung esok.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!