Pengaruh syaitan dalam politik
SATU azam yang nekad untuk merosakkan manusia diabadikan dalam dialog ALLAH dengan iblis, "Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur. [Al-A’râf/7:16-17]
Jelas, setelah termeterai azam iblis untuk merasuk manusia melakukan fasad dan mungkar dengan mengguna segala upayanya memperkuda nafsu, jiwa dan minda setiap insan, iblis diizinkan melakukannya dengan laknat ALLAH SWT.
Ayat-ayat ALLAH sendiri sudah mengisytiharkan syaitan sebagai 'musuh yang nyata'. Iblis, tanpa sedikit pun perasaan malu dan niat hendak bertaubat, telah bersumpah di depan ALLAH, bahawa ia akan berusaha menyesatkan semua makhluk manusia.
Kelicikan syaitan sangat luar biasa. Memang azam syaitan untuk menyesatkan manusia akan digerakkan secara maksimum. Manusia yang sering disasar ialah mereka yang berada dalam gelanggang kuasa. Orang politik sangat bergelumang dengan kemelut perebutan kuasa. Di gelanggang politiklah syaitan subur melakukan agenda kerosakannya.
Orang politik sama ada yang memegang kuasa mahupun yang bekerja keras untuk merebut kuasa sangat mudah terdedah dengan bisikan syaitan. Meskipun pengaruh syaitan mungkin tidak berlaku di awal perjuangan, akan tetapi bisikan halus akan mula memesongkan niat perjuangan di pertengahan ataupun pada akhir perjuangan. Awalnya demi melawan kerosakan namun akhirnya kepentingan diri mulai menguasai keinginan.
Mereka yang berkecimpung dalam gelanggang perlumbaan merebut kuasa, perlu cermat dalam berhujah, bila cuba mempengaruhi dan meraih penyokong dalam kalangan anggota parti mahupun pengundi di luar parti. Kerenah politik bukan sahaja untuk memposisikan diri dalam parti akan tetapi juga dengan sokongan rakyat sebagai pengundi.
Bermula dengan itulah syaitan menyelit peluang untuk membisik mereka yang mabuk kuasa. Peluang berkuasa untuk mencari kesempatan meraih kekayaan sering memancing ahli politik. Ada yang menjadi mangsa, ada juga yang ditelan kerakusan dan mengetepikan prinsip. Ada yang mempertahankan maruah, ada yang menjual diri. Pokoknya syaitan siap menyelinap pada setiap tahap, pada setiap saat.
Setakat mana syaitan bermakar untuk mempergunakan ahli politik untuk memporak-perandakan masyarakat dan negara? Jangan pandang enteng azam syaitan untuk berterus-terusan merasuk manusia supaya melanggar perintah ALLAH hingga dapat diheret bersama ke neraka.
Sebut sahaja apa bentuk kejahatan yang boleh dicatur oleh syaitan. Memfitnah, berbohong, menzalimi, menderhaka, merampas harta orang, membunuh, memungkiri janji adalah hasil bisikan syaitan merosakkan ahli politik. Semua kemungkaran boleh berlaku apabila ahli politik mengalah kepada bisikan syaitan. Dari sekecil berbohong sehingga mencetuskan perang berbunuhan sesama insan.
Baca sahaja berita sama ada di media cetak atau media elektronik, kebanyakannya merupakan berita dan laporan yang menimbulkan pertelingkahan politik yang memberi kesan kepada keutuhan masyarakat dan keamanan negara. Atas nama demokrasi orang politik menghambur kata-kata. Di atas pentas, di dada media, di dewan Parlimen, masing-masing mempamerkan keberanian berbicara. Tidak kira apa akibatnya, apa kesannya kepada masyarakat.
Apakah syaitan sudah berjaya mempengaruhi dunia politik? Mereka yang jahil, hipokrit dan gila sahaja tidak akan mengesahkan pengaruh syaitan dalam politik bukan setakat wujud, tetapi sangat berbisa dan berleluasa.
Sedarilah, syaitan tidak akan putus asa untuk menggunakan apa sahaja, walaupun manusia sendiri untuk merosakkan manusia. Orang politik dirasuk untuk merencana, berstrategi, memutar belit kata-kata. Pada satu ketika diherdik dan dibantah, pada saat yang lain diangkat dan dipuji dan disanjung. Semua atas nama strategi dalam berpolitik.
Seperti yang kita saksikan, politik adalah sebuah gelanggang yang sangat terdedah kepada unsur kerosakan manusia. Kita sudah pun saksikan betapa seriusnya bahana kerosakan yang tercetus akibat pengaruh syaitan dalam politik.
Syaitan mengumpulkan dosa untuk manusia agar mereka terheret ke neraka bersamanya melalui pelbagai cara fitnah, janji palsu, tipu helah, pembohongan, pembunuhan karakter, salah guna kuasa, beli undi, beradu domba, rasuah, benarkan yang batil, batilkan yang benar, tumbuk rusuk, bongkak, takabur, ujub, bahkan perbuatan syirik.
Ironinya, semua gejala buruk itu berlaku dalam keadaan manusia sendiri tahu pengaruh syaitan itu mencetus bibit-bibit pecah belah dalam kalangan anggota keluarga, adik-beradik, sahabat handai, jemaah masjid dan surau, masyarakat di samping mendedahkannya kepada kuasa luar yang membahayakan manusia dan keselamatan negara.
Antara tempat yang menjadi gelanggang kegemaran syaitan dalam politik adalah unsur berbaur perkauman, kepartian, keagamaan. Di satu sudut nampak ghairah mengungkap mengenai kepentingan agama dan bangsa. Di sudut yang lain, kepentingan itu dipinggirkan kerana ghairah untuk mengadakan pakatan politik untuk menjatuhkan lawan.
Pengaruh syaitan dalam politik tidak terhenti setakat itu. Ia memecah-belahkan keluarga, mengheret orang miskin menjadi alat, bahkan membuat manusia tergamak menjual maruah diri dan negara, semata-mata bagi memenuhi temolok sendiri dan kepentingan politik sempit.
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!