Henti berkempen selepas jam 11.59 malam ini: SPR

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai agar menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen menjelang tengah malam ini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh rasmi berkempen akan tamat jam 11.59 malam ini.

"Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

"Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua parti turut dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi esok.

"Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, semua pihak termasuk pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi agar tidak memakai baju yang mempunyai simbol parti atau gambar calon serta apa-apa bahan kempen.

"Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!