Ilmu, pelajaran dapat ubah nasib keluarga
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil berat perkara berkaitan pendidikan terutama golongan B40 supaya mereka yang cemerlang terus diberi peluang belajar dalam persekitaran lebih kondusif dan sihat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia penting supaya kecemerlangan pelajar dari keluarga B40 berterusan sehingga ke peringkat lebih tinggi, sekali gus memperoleh pekerjaan baik dan membantu meningkatkan sosioekonomi keluarga masing-masing kelak.
"Saya memberikan jaminan bahawa usaha dan kerjasama untuk membantu meringankan beban yang harus dipikul golongan B40 dalam kehidupan seharian mereka akan dijalankan secara konsisten dari semasa ke semasa di semua peringkat khususnya melibatkan pembelajaran anak-anak mereka.
"Saya percaya hanya melalui ilmu dan pelajaran dapat mengubah nasib golongan B40 ke arah peningkatan sosioekonomi mereka," katanya dalam ucapan Majlis Sumbangan Pelajar Cemerlang UPSR 2018 di sini hari ini.
Teks ucapan Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dibacakan Setiausaha Politiknya, Zuhuraina Makmur.
Pada majlis itu, seramai 46 pelajar cemerlang 6A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu di sekolah-sekolah sekitar Parlimen Titiwangsa menerima sumbangan berupa wang saku dan kelengkapan sekolah dan asrama.
Selain keputusan cemerlang dalam akademik, proses pemilihan juga dibuat berdasarkan latar belakang pendapatan isi rumah dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40.
Sementara itu, ibu kepada penerima sumbangan, Fadhillah Ahmad, 49, berterima kasih dengan sumbangan tersebut dan berharap anak bongsunya, Muhammad Aiman Mohd Azri terus cemerlang dalam akademik, sahsiah serta kokurikulum.
"Bila ada pelajaran akan dapat pekerjaan atau idea yang lebih baik. Kalau berniaga, akan jadi lebih bijak.
"Yang penting pelajaran itu adalah untuk dirinya dan masa depan yang lebih baik," katanya.
Bagi seorang lagi ibu kepada penerima sumbangan, Yee Peet Ving, 40, dia gembira kerana kerajaan mengutamakan golongan memerlukan.
Peet Ving berharap agar anak tunggalnya, Chui Hui Shan akan berjaya dan boleh menyumbangkan sesuatu pada negara kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!