Semangat juang Harimau Malaya tinggi!

Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan menewaskan Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan menewaskan Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
A
A
A

KEGARANGAN Harimau Malaya memastikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya membenam cabaran Thailand dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi.

Cheng Hoe ternyata berpuas hati dan menganggap anak didiknya memiliki semangat juang yang tinggi tanpa rasa menyerah kalah sekali gus berjaya mengutip tiga mata penuh menjelang pertemuan dengan Indonesia Selasa depan.

"Pemain saya menunjukkan aksi yang sangat fantastik dan itu bukan mudah kerana kita berdepan Thailand yang memiliki pemain yang kuat.

"Namun kita berjaya atasi mereka dengan semangat juang dan enggan menyerah kalah..itu penting untuk kami mendapatkan tiga mata berharga buat pasukan. Ya, saya semestinya gembira dengan keputusan ini dan ini juga sebagai motivasi buat kami menjelang perlawanan mendatang nanti," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-7 menerusi Chanathip Songkrasin sebelum Brendan Gan menyamakan kedudukan pada minit ke-26. Mohamadou Sumareh menjadi wira selepas memastikan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-56.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, biarpun pasukannya ketinggalan gol awal, anak didiknya tetap yakin dan bersatu hati untuk membuat yang lebih baik.

"Hasilnya, kita mendapat jaringan pertama menerusi Brendan dan seterusnya berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Ini sebahagian perjalanan kita dalam kempen kelayakan, kita ada empat lagi perlawanan dan keputusan malam ini adalah satu perkara yang positif buat kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang Brendan, Cheng Hoe berkata, dia (Brendan) berjaya menunjukkan kesungguhan dan kegigihannya dalam perlawanan itu.

"Dia menunjukkan satu karakter yang perlu untuk perlawanan itu. Sebelum ini dia pernah mengalami kecederaan ACL sebanyak dua kali, bukan mudah untuk kembali semula dengan aksi terbaik. Pemain baru dan junior harus belajar sesuatu darinya," katanya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga melempar pujian terhadap pemain tengahnya, Mohamed Syamer Kutty Abba kerana berjaya mengemudi bahagian tengah bagi mengekang asakan Thailand.

Tambahnya, beliau turut bersimpati dengan Muhammad Syafiq Ahmad dan Matthew Davies kerana tidak dapat bermain dalam perlawanan seterusnya selepas dilayangkan kad kuning kedua. Sebagai jurulatih, kami perlu mencari pilihan terbaik untuk berdepan Indonesia.

Untuk rekod kemenangan itu adalah yang kedua skuad negara dalam kempen Kumpulan G selepas mengetepikan Indonesia 3-2 dalam perlawanan pembukaan sebelum kalah berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) (1-2) dan Vietnam (0-1).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!