'MPKKP ditubuh kerana sudah lama penyokong PH dipinggir'

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu menyangkal kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengatakan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) sebagai langkah ke belakang.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebaliknya mempertahankan penubuhan MPKKP kerana melihat ia langkah positif yang perlu diambil memandangkan sistem sebelum ini tidak mencapai matlamat keadilan membantu masyarakat di negeri-negeri terlibat.

Menurutnya, cara pelaksanaan sistem Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang asal didakwa tidak memberi keadilan apabila penyokong kerajaan negeri sahaja mengaut sebahagian besar manfaat.

“Di Terengganu akibatnya amat parah kerana hampir 85 peratus ekonomi tempatan bergantung kepada sektor kerajaan dan pihak swasta amat kecil dan lemah kecuali di Kemaman di kawasan pengeluaran minyak dan gas.

“Kerajaan PH telah membentuk MPKK yang asal yang jauh lebih baik dan adil dari apa yang diamalkan oleh BN-UMNO dahulu tetapi malangnya kerajaan negeri Pas hanya tahu mengambil manfaat untuk diri sendiri.

“Walaupun pemimpin Pas dan PH kelihatan ziarah- menziarahi pejabat sesama mereka namun penyokong PH menderita di kampung dan bandar mereka.

"Walaupun perbelanjaan peruntukan projek Persekutuan diberi dengan baik tetapi penyokong PH terus disisih,” dakwanya.

Jelas Raja Bahrin, pengumuman MPKKP yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan disambut baik oleh penyokong PH di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan untuk menubuhkan MPKKP selepas hampir setahun setengah MPKK bersama (yang asal oleh kerajaan negeri dan Pusat) dilaksanakan, adalah hasil rungutan dan kegagalan MPKK memberi manfaat kepada semua rakyat dengan baik dan adil seperti diharapkan dan dihajatkan.

“Kerajaan Pusat terpaksa menubuhkan MPKKP selepas setahun setengah penilaian bagi membela penyokong kami setelah mereka dipinggir dan disisih.

"Kerajaan Terengganu tidak mungkin tidak mengetahui apa yang berlaku di kalangan rakyat di bawah.

“Kerajaan Pusat telah memberi ruang seluas-luasnya untuk melaksanakan sistem yang terbuka terhadap kerajaan Terengganu seperti dijanjikan tetapi sudah sampai masanya kami membela juga penyokong kami dan rakyat umum lain yang telah lama di pinggir dan disisih,” katanya.

Jelasnya, Majlis Presiden PH dan Kabinet telah membuat penilaian yang tepat dan bijak setelah mengambil kira pandangan akar umbi di bawah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!