Larangan merokok: 11,127 premis makanan diperiksa di NS

Veerapan
Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 11,127 premis makanan diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sebagai langkah penguatkuasaan pendidikan berkaitan larangan merokok di kedai makan sejak Januari tahun ini.

Exco Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,414 notis amaran telah dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha premis termasuk perokok.

"Sebanyak 2,969 notis amaran dikeluarkan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan gagal memastikan tiada yang merokok di dalam premis.

"445 notis amaran dikeluarkan terhadap orang yang didapati merokok di tempat makan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, meskipun hanya tinggal dua bulan sahaja penguatkuasaan penuh larangan merokok akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan namun aktiviti penguatkuasaan pendidikan akan terus dilaksanakan.

Beliau berkata, ia akan terus diperhebatkan sekali gus memastikan semua pihak dapat memahami dan mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.

"Justeru masyarakat dinasihatkan mematuhi peraturan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tempat makan adalah bebas asap rokok untuk melindungi orang ramai dari bahaya asap rokok.

"Semua pemilik dan pengusaha tempat makan adalah bertanggungjawab untuk memastikan premis mereka dilengkapi dengan tanda larangan merokok yang mematuhi spesifikasi yang ditetapkan mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), "katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!