Dua pelajar maut tembakan rambang di sekolah

Pelajar Sekolah Tinggi Saugus di California diarah menaiki bas ke kawasan selamat selepas insiden tembakan yang meragut dua nyawa dan mencederakan tiga yang lain. - Foto AFP
Pelajar Sekolah Tinggi Saugus di California diarah menaiki bas ke kawasan selamat selepas insiden tembakan yang meragut dua nyawa dan mencederakan tiga yang lain. - Foto AFP
A
A
A

CALIFORNIA - Seorang remaja lelaki menembak mati dua pelajar dan mencederakan tiga yang lain dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di California, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Dalam kejadian di Sekolah Tinggi Saugus di Santa Clarita pada kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) itu, suspek yang juga pelajar, Nathaniel Berhow melepaskan tembakan rambang yang menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun maut.

Seorang pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan masing-masing berusia antara 14 dan 15 tahun turut cedera dalam serangan terbabit.

Difahamkan, suspek yang menyambut hari jadi ke-16 pada hari sama menembak dirinya sendiri di bahagian kepala selepas melakukan serangan dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Kapten Kent Wegener, suspek berdiri di halaman sekolah lalu mengeluarkan pistol semi-automatik.45 dari beg sandang dan melepaskan tembakan rambang selama kira-kira 16 saat sebelum menembak dirinya sendiri.

Insiden tembakan berlaku di Sekolah Tinggi Saugus di Santa Clarita pada kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) semalam. - Foto AFP
Insiden tembakan berlaku di Sekolah Tinggi Saugus di Santa Clarita pada kira-kira jam 7.30 pagi (waktu tempatan) semalam. - Foto AFP

"Suspek hanya melepaskan tembakan dari tempat dia berdiri. Dia tidak mengejar sesiapa dan tidak berganjak," kata Wegener.

Sementara itu, pelajar yang ketakutan berlindung di dalam kelas selama lebih satu jam ketika pihak polis cuba menentukan sama ada suspek masih berkeliaran.

Artikel Berkaitan:

Pihak polis menemukan enam mangsa dengan luka tembakan dan menghantar mereka ke hospital berdekatan.

Suspek kemudian dikenalpasti sebagai salah seorang yang cedera.

Wegener menambah, setakat ini motif serangan masih belum diketahui dan suspek yang bertindak sendirian dikatakan tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan atau ideologi. - AFP/Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!