Alibaba lancar tawaran awam di Hong Kong
KUALA LUMPUR - Alibaba Group Holding Ltd melancarkan tawaran awamnya di Hong Kong yang membentuk sebahagian daripada tawaran global sebanyak 500 juta saham biasa baharu dan penyenaraian saham biasanya di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong Ltd.
Penyenaraian di Hong Kong akan membolehkan lebih ramai pengguna dan pihak berkepentingan syarikat dalam ekonomi digital Alibaba di Asia untuk melabur dan menyertai pertumbuhan syarikat gergasi e-dagang itu.
“Selain meningkatkan asas pelabur syarikat itu secara keseluruhan, tawaran tersebut akan memanfaatkan kumpulan modal baharu yang besar di Asia dan mewujudkan pasaran hampir sepanjang masa untuk pelabur global melakukan urus niaga saham Alibaba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba Group, Daniel Zhang berkata, syarikat gergasi e-dagang itu menyasarkan untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna global, dan lebih satu bilion merupakan pengguna China, dan memudahkan lebih 10 trilion renminbi (RM1=0.59) penggunaan di platformnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Matlamat ini akan dicapai dengan meneruskan tiga teras strategik globalisasi, penggunaan domestik dan data raya yang didayakan oleh pengkomputeran awan.
“Hong Kong antara pusat kewangan terpenting di dunia dan kami gembira dengan peluang untuk menyertai dalam masa depan Hong Kong,” kata Zhang.
Syarikat itu merancang untuk menggunakan hasil daripada tawaran tersebut bagi pelaksanaan strateginya untuk memacu pertumbuhan dan libat urus pengguna, memperkasakan perniagaan untuk memudahkan transformasi digital, dan terus melakukan inovasi dan melabur untuk jangka panjang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!