Penjawat awam Sabah dapat RM500
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan bayaran khas RM500 kepada setiap anggota perkhidmatan awam negeri yang akan dibayar serentak dengan pembayaran gaji bulan Januari 2020.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 berkata, bayaran itu adalah sebagai suntikan semangat kepada ketua jabatan dan penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
"Bayaran khas ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2020," katanya.
Mohd Shafie berkata, sebagai menghargai segala sumbangan ketua jabatan, pegawai serta kakitangan awam yang bertungkus-lumus melaksanakan pelbagai perancangan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan gred jawatan ketua jabatan secara berperingkat.
"Kenaikan secara berperingkat itu akan dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2020 tertakluk kepada kemampuan kewangan negeri," katanya.
Sementara itu beliau berkata, dalam usaha memenuhi harapan rakyat, sektor swasta dan para pelabur, kerajaan menyeru semua kementerian, jabatan dan agensi meneliti dan mengkaji semua proses kerja dan prosedur lama yang dihambat oleh kerenah birokrasi.
"Ia bagi menambah baik serta menghasilkan pendekatan dan prosedur operasi standard baharu yang lebih baik dan berkesan.
"Malah di mana yang sesuai, sesuatu perkhidmatan awam yang semakin efisien dalam membantu pemain industri meningkatkan perniagaan dan perusahaan mereka boleh dijadikan sumber baharu kepada kutipan hasil kerajaan negeri,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!