'Itu video lapuk dikitar semula'- Asyraf Wajdi
SHAH ALAM - Video tular melibatkan Exco Pemuda UMNO dikatakan ingin menarik kembali hak demokrasi kaum-kaum bukan Melayu di negara ini dirakam sebelum agenda Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, malah kenyataan itu juga bukan pendirian rasmi Pemuda UMNO.
"Berhubung video viral yang melibatkan seorang Exco Pemuda UMNO yang dikatakan ingin menarik kembali hak demokrasi kaum-kaum bukan Melayu di negara ini.
"Pemuda UMNO menegaskan bahawa itu merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Pemuda UMNO.
"Malah video berkenaan telah dirakam sebelum agenda Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional mula dibincangkan lagi," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Beliau menjawab isu klip video Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang viral di media sosial sejak hari ini.
Dalam percakapan langsung menerusi Facebook itu, Wan Muhammad Azri dilaporkan telah menzahirkan hasratnya untuk menarik hak mengundi kaum Cina dan India sekiranya Penyatuan Ummah menjadi kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata, Pemuda UMNO merupakan antara penggerak utama agenda Muafakat Nasional dan yang terawal menggerakkan komponen-komponen Barisan Nasional (BN) dari kalangan MCA dan MIC.
"Malah Pemuda UMNO merupakan antara terawal menyokong kepimpinan BN meletakkan calon dari MCA untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai atas semangat merealisasikan agenda Muafakat Nasional," katanya.
Katanya, Pemuda UMNO turut yakin dan percaya bahawa Muafakat Nasional adalah kunci untuk mengembalikan Malaysia kepada acuan yang asal iaitu sebuah negara aman, harmoni dan progresif dengan kerangka masyarakat majmuk dengan kepelbagaian agama dan bangsa berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara.
Sementara itu, Wan Muhammad Azri dalam satu kenyataannya berkata, video rakaman beliau mengenai hak mengundi kaum Cina dan India dikitar semula oleh sebuah parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Lebih dikenali sebagai Papagomo, beliau juga mendakwa parti terbabit terdesak untuk meraih undi kaum Cina dan India serta takut mengeluarkan rakaman penuh video tersebut.
"Video saya yang tular telah diambil tanpa melihat rakaman penuh yang asal. Video yang direkodkan pada Oktober 2018 ini sebelum ini juga telah diviralkan pada November 2018.
"Video lapuk dikitar semula hari ini oleh DAP kerana terdesak mahu mendapatkan sokongan undi kaum Cina dan India," katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Katanya, video tersebut dirakam sendiri olehnya bagi mengulas kenyataan Senator DAP, Nga Hock Cheh yang didakwanya membangkitkan isu status agama pada MyKad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!