'Ayah tak putus doa untuk Zarawi'
KOTA BHARU - "Saya tidak putus-putus berdoa agar anak saya ditemui segera," kata Mohamed Jaafar, 62, yang berharap anak ketiganya, Zarawi Mohamed, 35, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kelantan di Kampung Maka, Joh semalam ditemui.
Zarawi dilaporkan hilang di Sungai Kampung Maka Joh, Labok Machang semalam dan sehingga kini masih belum ditemui.
Mohamed berkata, tiada apa yang dapat dilakukannya selain berdoa kepada ALLAH setelah mendapat berita daripada saudara mara mengenai kehilangan Zarawi.
"Saya mendapat tahu tentang kehilangan Zarawi pada jam 10 pagi semalam dan ketika itu saya dan isteri berada di rumah anak di Kuala Lumpur kerana menjaga cucu.
"Saya tiba di Machang jam 5 pagi tadi dan terus bergegas ke lokasi ini untuk melihat sendiri operasi menyelamat dijalankan.
"Saya reda, saya terima segala ketentuan ALLAH ini dan apa pun berlaku, saya harap sangat anak saya dapat ditemui dengan segera," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi mangsa dipercayai hilang.
Mohamed memberitahu, anaknya itu merupakan bekas askar pernah berkahwin empat tahun lalu dan sudah bercerai.
Katanya, Zarawi mempunyai seorang anak yang kini dijaga sepenuhnya oleh bekas isteri.
Disifatkan sebagai seorang anak yang baik, Mohamed juga berkongsi, Zarawi merupakan seorang yang pendiam dan hanya bercakap perkara yang penting.
"Zarawi ini anak yang baik. Bercakap pun benda yang penting saja. Kali terakhir saya bercakap dengan dia 15 hari lepas, semasa itu saya hendak ke Kuala Lumpur.
"Dia pun tidak menunjukkan sebarang perubahan dan selepas bersalam, saya keluar rumah. Sejak berada di Kuala Lumpur pun saya tidak bertanya khabar sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kehilangannya semalam," katanya.
Sementara itu, adik bongsu Zarawi, Zulhafizan, 23, semasa ditemui juga berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan abangnya dan mereka sempat menonton televisyen bersama Isnin lalu.
"Saya kerja di Kota Bharu, kebetulan cuti,saya pulang ke rumah dan tengok televisyen bersama abang. Macam biasa saja, tiada apa pun perubahan ditunjukkan. Saya pun tidak pernah tahu dia ada masalah atau tidak. Cuma dia seorang yang pendiam. Itu saja," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, memaklumkan lokasi operasi pencarian Zarawi diperluaskan sehingga dua kilometer sehingga mangsa ditemui.
"Buat masa sekarang kita perluaskan kawasan pencarian, apa pun kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Lelaki tidak pulang rumah dipercayai lemas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!