Demokrasi dan PRK Tanjung Piai

A
A
A

Nasib enam calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diketahui hari ini.

Setelah hampir dua minggu, segalanya dimuktamadkan malam ini. Yang pasti, nasib mereka ditentukan oleh 53,000 pengundi berdaftar di situ.

Setelah empat hari penulis berkampung di Tanjung Piai, beberapa perkara dilihat antara faktor yang mampu menyumbang kepada kemenangan atau kegagalan kepada calon-calon yang bertanding. Paling jelas sudah tentulah kemampuan untuk menarik pengundi luar untuk pulang mengundi.

Kenyataan itu disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Seong sendiri.

Beliau secara berseloroh menyatakan, peluang Pakatan Harapan (PH) untuk menang bergantung kepada keadaan trafik pada hari ini. Kalau trafik tak sesak, maka anggaplah PH kalah tanpa perlu membuka peti undi.

Ini berikutan, sekitar 30 peratus pengundi Melayu dan 40 peratus pengundi Cina tidak tinggal di Tanjung Piai. Kebanyakan mereka bekerja di luar terutamanya Kuala Lumpur dan Singapura. Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), segmen itulah yang bersemangat pulang mengundi dan memenangkan PH. Begitulah sedikit sebanyak cerita di sebalik kemeriahan pesta demokrasi sempena PRK kali ini.

PRK Tanjung Piai juga memperlihatkan satu permainan politik yang kompleks dan rumit.

Keseimbangan demografi, faktor calon, sentimen semasa dan peluang sama rata antara perkara yang menjadi permasalahan kepada parti-parti yang bertanding. Keyakinan calon bebas serta parti-parti kecil seperti Berjasa dan Gerakan bertanding dalam PRK itu memperlihatkan akan keadaan itu.

Artikel Berkaitan:

Perkiraan bahawa mereka mampu memecahkan undi atas andaian bahawa ada semacam kebosanan dalam kalangan pengundi terhadap politik PH dan Barisan Nasional (BN) menjadi asas kepada penyertaan kali ini.

Kalau dibandingkan dengan PRK sebelumnya, calon bebas tidak pernah dianggap signifikan dalam two-horse race antara PH dan BN.

Tetapi menjadikan PRK Tanjung Piai sebagai litmus test kepada perkara itu barangkali masih awal dan jauh untuk dilakukan.

Dalam konteks PRK Tanjung Piai, kerumitan dan kekompleksan itu jelas dialami PH dan BN kerana hanya dua parti itu sahaja yang setakat ini dilihat pengundi berupaya menghasilkan pulangan kepada undi yang dibuang ketika pilihan raya.

Dalam masa yang sama, perkauman juga menjadikan BN dan PH pilihan selamat disebabkan persepsi sentimen dan kepentingan terancam lebih terbela menerusi parti politik kuat dan stabil.

Sebab itu, selagi mana perkauman menjadi asas kepada kewujudan parti politik, agak sukar untuk mengikis perkauman keluar dari nuansa politik Malaysia. Memang benar ada parti politik yang wujud berasaskan fahaman ideologi seperti PKR, Pas dan DAP. Namun begitu, parti-parti inipun didominasi kaum tertentu terutamanya di peringkat kepimpinan tertinggi yang membentuk teras dan hala tuju parti tersebut.

PRK Tanjung Piai adalah contoh klasik yang menonjolkan perkara itu. Walaupun kewajipan setiap parti politik untuk mendidik dan menggesa pengundi supaya melihat politik dalam gambaran lebih besar tetapi mesej sebaliknya yang berlaku.

Hampir kesemua kempen politik digunakan untuk meniup sentimen perkauman dan menyerang karektor dan peribadi.

Dalam konteks demokrasi ia bukan sekadar pilihan raya semata-mata tetapi demokrasi juga harus menjadi medan membentuk nilai dan tanggungjawab sivik kepada setiap warganegara.

Sebab itu, istilah politik tidak boleh terhad sebagai satu bentuk pergelutan kuasa yang melibatkan konflik antara kelompok terhadap sumber yang terhad semata-mata. Kalau ia berterusan, maka selamanyalah kuasa politik sebenar (baca: undi) yang dimiliki rakyat tidak memberi makna dan mengubah apa-apa.

Diucapkan selamat mengundi buat warga Tanjung Piai. Semoga ‘kuasa politik’ di tangan kalian benar-benar berkuasa dan membawa makna dalam konteks demokrasi yang sebenar.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!