Teknologi, nilai murni seimbang
Sejak kebelakangan ini, masyarakat sering dihidangkan dengan agenda dan kepentingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Keghairahan masyarakat untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan agenda IR 4.0 dalam kehidupan dan aktiviti seharian mereka semakin hari semakin menyerlah.
Keghairahan itu memberi gambaran masyarakat dan IR 4.0 tidak dapat dipisahkan untuk mencapai kemajuan.
Keperluan dan kepentingan IR 4.0 kepada kemajuan dan kemakmuran masyarakat tidak dapat dipertikaikan.
Untuk mencapai kemajuan masyarakat, negara perlu mengadaptasi dan mengaplikasikan kemudahan yang disediakan oleh IR4.0. Namun begitu masyarakat juga perlu sedar bahawa segala kemudahan dan teknologi yang dibawa IR 4.0 tidak mampu menjamin kebahagiaan dan kemakmuran masyarakat dan negara secara total.
Terdapat pelbagai elemen lain yang perlu dibawa bersama-sama dengan IR 4.0 untuk memastikan agenda kemakmuran dan kemajuan masyarakat dan negara dapat dicapai dengan jayanya.
Salah satu komponen menjadi resepi utama kepada keberkesanan agenda IR4.0 untuk memacu kemakmuran dan kemajuan masyarakat serta negara ialah nilai-nilai murni dalam sesebuah masyarakat dan negara.
Di antara nilai-nilai tersebut ialah amanah, jujur, berintegriti, hormat menghormati dan berfikiran positif. Nilai-nilai seperti itu adalah tiang seri kejayaan pelaksanaan agenda IR4.0 oleh sesebuah masyarakat dan negara.
Oleh itu, kepercayaan dalam kalangan ahli masyarakat yang menyatakan penumpuan dan penekanan agenda IR 4.0 secara holistik mampu membawa negara ke arah kemajuan dan kecemerlangan perlu dinilai semula. Teori Ketamadunan ada menyatakan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan, sesebuah masyarakat dan negara komponen nilai-nilai murni masyarakat tidak boleh dipinggirkan.
Untuk memastikan hasrat negara mencapai status negara maju menjelang 2030 dicapai dengan jayanya, formula tersebut wajar untuk diaplikasikan. Kebergantungan kepada IR 4.0 semata-mata tanpa mempedulikan kepentingan nilai murni masyarakat dan negara hanya mengundang kekecewaan di masa hadapan.
Justeru, dalam keghairahan masyarakat Malaysia mengadaptasi kehebatan dan kemudahan IR 4.0, nilai-nilai murni seperti amanah, jujur dan berintegriti wajar dipraktiskan dalam segala aktiviti seharian.
Jadi hebat
Negara Jepun, Jerman, Finland dan Korea maju bukan disebabkan kemajuan dan kehebatan teknologi mereka mengadaptasi IR 4.0 semata-mata.
Punca utama negara-negara tersebut menjadi hebat dan menjadi rujukan dunia ialah kerana kejayaan mereka mengadunkan kehebatan IR 4.0 dengan nilai-nilai murni masyarakat setempat.
Sebagai contoh, sifat hormat menghormati dan berintegriti merupakan teras utama kepada masyarakat Jepun.
Walaupun Jepun dikenali sebagai sebuah negara gergasi dalam aspek teknologi dan IR 4.0, namun nilai-nilai murni mereka masih kukuh dalam setiap aktiviti kehidupan mereka.
Berdasarkan kepada laporan antarabangsa indeks rasuah dan ketirisan maklumat atau kewangan adakah pada tahap yang sangat rendah di negara tersebut. Justeru, tidak hairanlah negara tersebut terus mencapai kejayaan demi kejayaan semenjak sekian lama dan berterusan pada masa hadapan.
Sebagai sebuah negara yang menuju kepada status negara maju, rakyat di Malaysia seharusnya belajar mencontohi negara tersebut dalam melaksanakan agenda IR4.0.
Komponen IR 4.0 dan nilai murni masyarakat setempat wajar diadunkan secara sebati. Hanya dengan adunan kedua-dua komponen itu sahaja Malaysia mampu muncul sebagai sebuah negara maju yang dihasratkan.
Mengguna pakai resipi seperti itu, segala aktiviti yang tidak sihat seperti rasuah, salah guna kuasa dan penipuan yang menjadi barah kemajuan dan kemakmuran negara dapat dihapuskan.
* Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!