Sukan SEA: BAM kurangkan sasaran emas

Norza
Norza
A
A
A

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang sebelum ini meletakkan sasaran dua pingat emas di Sukan SEA 2019 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini telah mengurangkan sasaran itu kepada satu pingat emas.

Perkembangan ini diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pada sidang media selepas mesyuarat majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Sasaran kem badminton negara terpaksa dikurangkan selepas juara bertahan acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak dapat menyertai temasya kali ini kerana terpaksa menjalani pembedahan usus pada bulan lalu.

Pemain berusia 19 tahun yang merupakan juara dunia remaja dua kali, bergelut dengan sakit perut sejak Januari, sebelum menjalani pembedahan membuang sebahagian daripada ususnya, pada pertengahan Oktober.

Bagaimanapun, Mohamad Norza tidak menolak kemungkinan bahawa pemain negara seperti Lee Jii Zia (perseorangan lelaki), Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai (beregu campuran) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), mampu melakarkan kejutan untuk membawa pulang pingat emas.

"Hari ini buat kali kedua Goh dan Shevon menewaskan pasangan Thailand (Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di Terbuka Hong Kong), ini satu keputusan memberangsangkan. Tetapi kita tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu kepada pemain kita, mereka masih muda.. jika kita persiapkan mental dan fizikal diri, mereka mampu lakukan kejutan,” katanya.

Sebagai rekod, daripada tujuh acara yang dipertandingkan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih satu pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, mesyuarat telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Datuk Ng Chin Chai untuk melakukan kajian terperinci mengenai prestasi kurang memuaskan pasukan remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di China dan Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Rusia.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak ketahui di mana tahap prestasi pemain kita berbanding pemain dari negara lain, kelemahan-kelemahan ketara yang ada pemain kita dan amalan-amalan dilakukan negara lain untuk memperbaiki proses pembangunan kita.

"Kita juga memutuskan, untuk seorang pakar pembangunan pemain remaja untuk menjaga program pembangunan kita, selaras dengan pemindahan pemain muda kita dari Bukit Jalil (Sekolah Sukan) ke ABM, Januari tahun hadapan,” katanya.

Mohamad Norza menjelaskan bahawa pemain muda yang dipindahkan ke ABM itu, akan mengikuti pengajian bersama Sekolah Antarabangsa Regent di akademi itu sendiri dari tahun tujuh hingga 11, sebelum menduduki peperiksaan IGCSE (International General Certificate of Secondary Education). -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!