Budak pinjam tablet 'display' buat kerja sekolah
RECIFE - Rakaman video memaparkan kegigihan seorang kanak-kanak lelaki menyiapkan kerja sekolah di sebuah kedai elektronik di Recife, Brazil kini tular.
Guilherme Santiago, tinggal di kawasan penempatan kos rendah di mana penduduknya kurang berkemampuan dan sekolah kekurangan pelbagai kemudahan termasuk akses internet.
Namun ia tidak mematahkan semangat pelajar berusia 10 tahun dari Sekolah Perbandaran Abílio Gomes itu untuk menyiapkan tugasan yang diberi.
Pada awalnya, Santiago menggunakan telefon bimbit di kedai Samsung itu namun apabila pekerja kedai bertanya apa yang dilakukannya, dia kemudian dibenarkan menggunakan tablet di kedai berkenaan.
"Saya tidak berkata apa-apa, saya berasa takut. Penjaga kedai bertanya apa yang saya lakukan.
"Saya menjawab ia tugasan mengenai Wilayah Selatan," kata budak lelaki itu kepada laman sesawang G1.
Video berkenaan tular apabila dikongsi di laman Twitter dan mendapat lebih enam juta tontonan.
Ramai pihak memuji tindakan pekerja kedai yang tidak menghalau Santiago sebaliknya membenarkan kanak-kanak itu menggunakan gajet dan Wifi untuk menyiapkan kerja sekolahnya.
Sementara itu, keluarga Santiago hanya mengetahui mengenai hal tersebut apabila diberitahu tentang video tular itu.
"Santiago gemar belajar dan dia mengaku pernah beberapa kali mengunjungi pusat beli-belah tersebut," kata kakak kanak-kanak itu.
Susulan video tular terbabit, Samsung mendermakan dua buah tablet kepada Santiago dan segala urusan pembayaran dan insurans ditanggung. - Agensi
Kid has no internet access, goes to shopping mall to use tablet to do school homework. Praise the guys at the store that let him use it whenever he needs pic.twitter.com/coXGOl8q12
— Addicted to Viral (@AddictedViral) November 11, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!