Seorang rentung, dua patah kaki
MERSING - Seorang pekerja kedai runcit maut selepas Perodua Alza dinaiki terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di KM14 Jalan Nitar - Mersing, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamad Aslam Muhammad Nasir, 19, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa berkata, hasil siasatan awal polis mendapati pemandu lori dalam perjalanan dari arah Bandar Mersing menuju ke arah Kluang.
Menurutnya, semasa melalui tempat kejadian di selekoh, sebuah Perodua Alza datang dari arah bertentangan telah memasuki laluan lori secara tiba-tiba dipercayai hilang kawalan.
"Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat untuk mengelak lalu berlaku perlanggaran. Akibat dari perlanggaran tersebut, kedua-dua kenderaan terlibat telah terbakar.
"Pemandu dan kelindan lori sempat keluar. Manakala pemandu Perodua Alza tidak sempat untuk keluar dan terbakar bersama kenderaan terlibat," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Tambahnya, pemandu dan kelindan lori telah patah kaki dirujuk ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu Perodua Alza telah mendapat kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, waris keluarga mangsa telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai kes kemalangan ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)APJ 1987 dan kes masih dalam siasatan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!