Lelaki maut terkena renjatan elektrik
KUANTAN - Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di tapak bekas lombong bauksit belakang sebuah stesen minyak, Jalan Pintasan Kuantan di sini petang semalam.
Mayat mangsa yang dikenalpasti sebagai Mohd Faez Mohd Jefri, 28, beralamat di Lorong Kampung Pandan Makmur 5 di sini ditemui orang awam yang juga pemilik tanah kira-kira jam 3 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut pada jam 3.15 petang sebelum sepasukan anggota polis bersama pasukan forensik ke lokasi untuk siasatan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mati akibat terkena renjatan elektrik
"Pihak polis turut menemui sebuah kereta jenis Proton Wira dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, anggota menemui kabel elektrik dan lesen memandu atas nama mangsa," katanya.
Mohd Noor berkata, semakan rekod ke atas identiti kenderaan tersebut mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita yang juga ibu mangsa.
Katanya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut ke lokasi bagi mematikan arus elektrik yang masih ada di lokasi.
"Mayat mangsa dihantar ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) di sini untuk proses bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti tujuan mangsa ke lokasi tersebut termasuk kaitannya dengan kabel-kabel yang ditemui," katanya.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!