Kemarau kemenangan hantui Brazil
BRAZIL masih gagal menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan selepas tewas kepada Argentina dalam aksi persahabatan di Stadium King Saud awal pagi tadi.
Pengendalinya, Tite mengakui Brazil berada dalam tekanan selepas kekalahan itu yang menyaksikan aksi hambar dipamerkan barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.
"Brazil perlu mencari kemenangan untuk mengelakkan tekanan terus melanda pasukan. Saya tidak pasti apa yang berlaku dengan pasukan ini sekarang.
"Namun, kami perlu bangkit dan mencari jalan penyelesaian segera dengan masalah yang berlaku ini," katanya.
Bintang Argentina, Lionel Messi menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan itu pada minit ke-13 sekali gus membalas dendam kekalahan kepada Brazil dalam perlawanan separuh akhir Copa America, Julai lalu.
Dalam masa sama, Tite turut mengakui ketiadaan ayam tambatan pasukan itu, Neymar menjadi salah satu faktor juara dunia lima kali itu gagal meraih kemenangan.
"Banyak peluang yang terhidang gagal disempurnakan oleh pemain. Saya rasa jika ada Neymar mungkin ia akan menjadi sesuatu yang berbeza.
"Dalam lima perlawanan setakat ini hanya emapt gol yang mampu terhasil. Saya agak kecewa dengan keadaan ini," katanya.
Tite mengharapkan agar kemenangan dapat diraih Brazil dalam satu lagi aksi persahabatan menentang Korea Selatan di Stadium Mohammed bin Zayed Selasa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!